Custom Search
"DEMI MASA MANUSIA SENTIASA DALAM KERUGIAN"

Friday, September 11, 2009

Lapor siasatan rumah mewah Khir, SPRM diberi tempoh 7 hari
Dzulfikar Mashoor Sat Sep 12, 09 2:14:23 pm MYT
AMPANG, 12 Sept :

Gerakan Rakyat integriti dan Anti Korupsi (GERAK Malaysia) memberi tempoh tujuh hari kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan perkembangan sisatan kes kediaman mewah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo yang didakwa bernilai RM20 juta.
Pengerusinya, Mohd Nazri Mohd Yunus semalam berkata, SPRM dilihat lambat bertindak sehingga tiada apa apa laporan dikeluarkan sejak kes itu dibangkitkan sejak tiga bulan lalu.
"Kami beri tempoh 7 hari untuk menyatakan perkembangan kes atau dakwaan, jika tidak Jumaat ini GERAK Malaysia akan hantar memorandum pada SPRM. Saya tuntut pendakwaan segera.� katanya.
Ujarnya lagi, SPRM perlu bertindak secara adil dan saksama; tanpa mengira seseorang yang didakwa itu dari Pakatan Rakyat atau pemimpin penting Umno sendiri.
Ditanya mengapa perlu tunggu tujuh hari untuk mengantar memo tersebut, Nazri menjelaskan bahawa pihaknya akan bersemuka dengan SPRM bukan untuk membuat pengaduan atau laporan, sebaliknya menunggu maklum balas siasatan berbangkit.
"Berkaitan banglo mewah Khir Toyo ini, kita sudah hantar dakwaan pada 7 Julai lalu; termasuk beberapa pendedahan laman web berkaitan dan sebagainya," jelasnya.
Sambil melahirkan kekesalan atas pendakwaan terpilih SPRM dalam kes Khir Toyo itu, beliau mempersoal komitmen luar biasa SPRM sebelum ini apabila agresif menyisat beberapa kes pendakwaan yang dikaitkan dengan pemimpin Pakatan Rakyat.
"Tentang kes Tan Sri Khalid (Menteri Besar Selangor) dan kes peruntukan Dun yang kita (GERAK) hantar, saya kira dalam tempoh dua minggu siasatan terus dimulakan. Mengapa tidak dalam kes Khir Toyo ini?" soalnya lagi. Bercakap pada sidang media di Hotel De Palma, Nazri berkata, keengganan SPRM menyiasat kes Khir Toyo bukan sahaja mengakibatkan kredibiliti suruhanjaya itu terus dipertikai khalayak, malah turut mengakibatkan GERAK sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bebas juga terpalit difitnah sebagai 'buat laporan terpilih' dan proksi Mohd Ezam Mohd Noor (Umno). Beliau juga menjelaskan bahawa pertubuhannya mempunyai beberapa dokumen bukti berkaitan kes tersebut. Pun begitu, beliau masih menunggu mana-mana saksi kes tersebut tampil bersamanya dalam pendakwaan kes Khir Toyo itu. Beliau turut mencabar Khir menafikan segala pendedahan terbuka yang dilakukan oleh beberapa laman web termasuk oleh mereka yang bergelar Umno-Reform. Artikel berjudul Khir Perlu Jawab! dalam Umno Reform 2, 6 Julai lalu mendedahkan Istana gaya Bali yang terletak di Jalan 1/7L, Seksyen 7 Shah Alam bernilai lebih RM20 juta. Walaupun SPRM masih belum membuat sebarang pendakwaan kes terbabit, khalayak amnya percaya seseorang ahli politik yang bersih sebenarnya tidak mampu memiliki rumah bernilai RM20 juta, dengan menjawat jawatan Menteri Besar Selangor selama dua penggal pemerintahan sahaja._mna_

BN mungkin akan ditolak seperti LDP - Dr M
Abdul Aziz Mustafa Sat Sep 12, 09 9:14:13 am MYT
KUALA LUMPUR, 12 Sept:

Umno dan Barisan Nasional (BN) mungkin akan mengalami nasib yang sama seperti Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun yang ditolak rakyat negara itu, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Adakah pilihan raya yang akan datang akan menyaksikan fenomena yang sama seperti di Jepun? Ia tidak mustahil sama sekali," kata bekas Presiden Umno dan Pengerusi BN itu.
Para pengundi muda, katanya, dikatakan kecewa dengan "parti yang mendapatkan kemerdekaan" kerana perkara itu telah menjadi sejarah dan tidak begitu bermakna kepada mereka.
Menurut beliau, di beberapa negara lain, parti-parti yang "berjuang dan mencapai kemerdekaan" telah hilang lenyap seolah-olah rakyat tidak tahu berterima kasih dan tidak peduli "pejuangan dan pengorbanan" parti-parti tersebut dan para pemimpinnya.
"Adakah mereka tidak tahu berterima kasih? Ada kebenarannya tetapi jika kita mahu mengkaji, kita akan dapati sikap para pejuang kemerdekaan itu dan mereka yang mengggantikan para pejuang tersebut telah berubah hampir sepenuhnya," kata beliau dalam blognya.
Mereka, kata Dr Mahathir, menjadi tamak dan angkuh serta tidak lagi mempedulikan negara dan rakyat.
Walaupun menyatakan bahawa para pengundi Melayu begitu setia kepada BN, tetapi Dr Mahathir mengingatkan wujudnya bukti di dalam pilihan raya umum tahun lalu bahawa para pengundi setia itu telah memberikan undi kepada pembangkang.
Menyentuh keadaan Umno kini, Dr Mahathir berkata, gejala yang melanda parti itu tidak boleh dinafikan lagi.
"Rasuah menjadi-jadi di dalam Umno dan parti-parti komponen (BN) yang lain. Perebutan kuasa telah melemahkan mereka. Para pemimpin begitu ghairah untuk terus berkuasa walaupun tidak lagi mampu berperanan.
"Dengan para pemimpin sedemikian, negara dan rakyat diabaikan. Pada dekad yang lepas, walaupun berdegar-degar dengan cakap-cakap bahawa berbilion ringgit diperuntukkan kepada koridor dan sebagainya, tidak ada bukti yang ketara dan boleh dilihat.
"Tidak ada apa-apa pun yang boleh ditunjukkan walaupun Petronas membayar RM250 bilion lebihan kepada kerajaan," katanya.
Adalah menghairankan, kata Dr Mahathir, apabila didapati Malaysia ketinggalan di belakang jiran-jirannya.
Negara ini, kata beliau, "bukan lagi negara yang terkehadapan di rantau ini. Tentunya tidak lagi boleh disifatkan sebagai negara contoh".
Beliau berpendapat, BN hanya boleh diselamatkan oleh prestasi lemah pembangkang.
"Tetapi, jika prestasi kerajaan BN dan parti-parti di dalamnya gagal meyakinkan, pera pengundi yang kecewa mungkin akan melakukan apa yang telah dilakukan para pengundi Jepun - menyingkirkan parti yang mereka sokong sejak lebih dari separuh abad," kata Dr Mahathir.
Tsunami revolusi pilihan raya di Jepun 30 Ogos lalu menyaksikan kemenangan Parti Demokratik Jepun (DPJ) menyingkirkan pemerintahan Parti Liberal Demokratik (LDP) di negara itu sejak Perang Dunia Kedua.
Kehancuran kuasa LDP itu menyaksikan DPJ memenangi 308 dari 480 kerusi parlimen negara itu. _

Wednesday, September 9, 2009

PAS tolak kerjasama politik dengan Umno
Irwan Muhammad Zain
Wed Sep 09, 09 1:42:32 pm MYT
KUALA LUMPUR, 9 Sept:


Tidak akan ada sebarang kerjasama antara parti melibatkan PAS dan Umno tetapi tidak menolak kerjasama antara kerajaan dan kerajaan atau kerjasama untuk kepentingan ummah.

Demikian tegas Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali ketika mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak semalam menyatakan kesanggupun Umno berunding dengan PAS untuk kepentingan umat Islam negara ini.
Mustafa menegaskan PAS bersedia untuk berbincang dengan Umno jika hubungan yang mahu dibina itu untuk kepentingan masyarakat umum, ummah dan negara serta mengadakan hubungan antara kerajaan dan kerajaan.

"Jika Najib maksudkan mahu berunding dengan PAS untuk mengadakan hubungan dari sudut politik, saya ingin tegaskan kita tolak kerana sejak tahun 1999 hingga 2008 sudah ada hubungan politik antara PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Hubungan politik yang kita (PAS) bina antara DAP dan PKR dalam konteks demokrasi untuk menghadapi pilihan raya sudah terbukti berjaya hingga membentuk kerajaan di lima buah negeri.

"Selain kejayaan dalam Pilihan Raya Umum ke 12 yang lalu, hubungan politik antara PAS, DAP dan PKR yang membentuk Pakatan Rakyat juga sudah membuktikan kejayaan dalam tujuh daripada lapan pilihan raya kecil yang diadakan sejak 2008 hingga kini," tegas Mustafa dalam satu sidang media khas di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut, dekat sini pagi tadi.

Beliau juga menegaskan kerjasama politik dengan pihak selain Pakatan Rakyat - Umno atau pihak-pihak lain - tidak perlu diadakan.

PAS, tegas Mustafa, tidak akan meninggalkan Pakatan Rakyat yang semakin kukuh dan diterima rakyat sebaliknya bersedia untuk menerima Umno jika parti itu mahu bersama menyertai Pakatan Rakyat.

"Apakah Umno sanggup tinggalkan Barisan Nasional (BN) yang semakin rapuh untuk menyertai Pakatan Rakyat yang kian kukuh?" soal beliau.

Mengulas mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun)Bagan Pinang yang dijangka akan diadakan selepas Aidil Fitri, Mustafa menjelaskan beliau akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membincangkan mengenai tarikh membuang undi dan juga undi pos.

Beliau meminta SPR supaya menetapkan hari pengundian tidak lagi dijalankan pada hari bekerja seperti mana pilihan raya kecil Dun Manek Urai dan Permatang Pasir yang menyaksikan peratusan keluar mengundi turun kerana ramai yang tidak dapat mengundi kerana terikat dengan kerja.

"Kita (PAS) mahu pilihan raya di negara ini telus dan adil dan kerana itu kita mahu SPR menghormati hak-hak pengundi," kata beliau.

Ketika diminta mengulas peluang untuk memenangi pilihan raya kecil tersebut, Mustafa menjelaskan PAS mempunyai peluang untuk menang tetapi mengakui ia bukan satu perkara yang mudah kerana faktor undi pos yang berjumlah 5,000 di Dun tersebut yang selalunya akan berpihak kepada BN.

Namun kata beliau, calon PKR, Roslan Kasim berjaya memenangi pilihan raya kecil Dun Teluk Kemang pada tahun 2001 biarpun terdapat undi pos.

Mustafa juga menjelaskan, PAS akan memilih calon selepas meneliti senarai yang akan diterima tetapi mengesahkan calon dari Negeri Sembilan akan dipilih untuk bertanding dalam pilihanraya kecil itu nanti.

Ketika diminta mengulas berhubung cadangan Umno Bahagian Teluk Kemang yang mahu Tan Sri Isa Samad menjadi calon BN di Bagan Pinang, Mustafa menegaskan, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu akan menjadi liabiliti kepada Umno.

"Isa akan jadi liabiliti kepada Umno jika beliau yang bertanding di Bagan Pinang kerana pernah digantung keahlian dan dilucutkan jawatan kerana terlibat dengan rasuah politik dan (kes itu) disahkan oleh Umno sendiri," tegas beliau.