Custom Search
"DEMI MASA MANUSIA SENTIASA DALAM KERUGIAN"

Saturday, December 4, 2010

Rakyat 'didahulukan' atau 'dahulu kena'
Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR, 5 Dis: Kerajaan sepatutnya mempunyai pilihan lain selain menaikkan harga barangan keperluan rakyat sekalipun beralasan mengurangkan tanggungan subsidi negara.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan berkata, tindakan terbaru kerajaan BN menaikkan harga petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan gula, tidak membuktikan 'rakyat didahulukan', tetapi 'rakyat yang dahulu kena'.

Katanya, rakyat yang tidak bersalah sentiasa menjadi mangsa keadaan, sedangkan kerajaan pula boros dan membazir dalam mengurus perbelanjaan wang negara.

"Negara kita begitu banyak sekali kes-kes pembaziran yang melibatkan jutaan ringgit dan ini boleh dirujuk semula kepada laporan audit negara.

"Jika ini situasinya, maka bukan rakyat didahulukan tetapi rakyat yang kena dulu," katanya kepada Harakahdaily.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan sewajarnya bertindak sebagai payung kepada rakyat, dan mencari jalan untuk mengurangkan bebanan mereka bukan memangsakan mereka.

"Jika kerajaan gagal untuk menampung bagi pihak rakyat dan menampan tekanan atau kekangan kenaikan harga minyak di peringkat antarabangsa, maka rakyat akan dihimpit derita dan sengsara.

"Bukan kerana mereka menjadi mangsa kepada lonjakan harga minyak dipasaran dunia tetapi mereka menjadi mangsa kepada kerajaan yang mereka pilih kerana menghabiskan dana negara sehingga tidak mampu untuk menampung bagi pihak rakyat agar mereka tidak perlu membayar harga minyak yang tinggi sebagai pengguna," katanya lagi.

Turut dipersoal, sama ada kerajaan sebenarnya memang merancang menaikkan harga minyak kerana mahu mengelak dari beban dan tanggungjawab yang sepatutnya.

"Secara jujurnya saya minta supaya kerajaan Umno dan BN mencontohi bagaimana kerajaan Pakatan Rakyat mengurus kewangan negeri yang mereka kuasai sehingga mendapat pujian Ketua Audit Negara.

Bukan sahaja pandai dan bijak mengurus tetapi berani berjimat dan cekal mengambil langkah cermat biarpun berdepan dengan tekanan politik dan ekonomi dari kerajaan pusat.

"Kalau boleh saya tanya soalan nakal, saya nak tanya, kerajaan menaikan harga minyak ni betul betul kerana harga minyak di pasaran dunia naik atau kerana negara habis duit buat main kapal layar di Terengganu?

“Habis duit buat main jet di Langkawi? Maaf, saja saja jer tanya kerana sedar soalan ini agak nakal," katanya.

Demo air: Tuntut hak bukan galak jenayah
Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR, 4 Dis: Perhimpunan aman "Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat" yang dirancang Kerajaan Selangor bukan mahu menggalakkan perbuatan jenayah, tetapi bagi menuntut hak rakyat.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin menegaskan demikian sebagai menafikan dakwaan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah bahawa himpunan esok hanya "menggalakkan perbuatan jenayah" di kalangan masyarakat.

"Kebebasan mengadakan perhimpunan aman seperti yang termaktub mengikut Fasal 10, Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan atas dasar ini Kerajaan Negeri telah membuka ruang kepada rakyat untuk menyatakan sokongan mereka kepada usaha mengambilalih pengurusan air dari syarikat swasta yang nyata gagal membekal air bersih dengan harga yang berpatutan," katanya.

Merujuk kepada beberapa kes yang dianjur beberapa NGO sebelum ini, mahkamah memutuskan tidak salah bagi rakyat untuk berhimpun di masjid yang merupakan rumah ibadat bagi umat Islam.

Rakyat Selangor serta pimpinan negeri katanya hanya mahu mendapatkan perhatian Yang di-Pertuan Agong yang menjadi tempat rakyat mencari keadilan dan berlindung supaya hak rakyat tidak diketepikan dalam isu air apatah lagi dalam ketika hidup rakyat semakin perit dengan harga barangan asas yang meningkat.

"Tujuan ini jauh menyimpang dari anggapan Ketua Polis Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun, Kerajaan Negeri berharap pihak polis akan mengambil sikap professional ketika memantau perhimpunan aman esok dan semua pemimpin yang hadir akan memberi kerjasama pihak berkuasa agar semua berjalan lancar," katanya lagi.

Kerajaan Negeri juga menyeru agar rakyat yang bersama kerajaan Negeri bertenang dan sentiasa bersikap rasional ketika menyertai perhimpunan aman tersebut esok.

Makluman juga telah dibuat kepada polis termasuk, Ketua Polis Kuala Lumpur, Pejabat polis Daerah Dang Wangi dan Brickfields, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Majlis Peguam Malaysia (Bar Council).

<>

Tarik subsidi kroni, bukan rakyat
Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR, 4 Dis: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) terkejut dengan pengumuman kenaikan harga barangan asas pengguna yang menjadi permintaan harian rakyat iaitu petrol, gas, diesel dan gula.

Presidennya, Ahmad Syazwan Muhammad Hasan berkata, kenaikan berkuatkuasa hari ini akan menimbulkan reaksi yang kontradik kepada keputusan kerajaan tersebut.

Alasan yang digunakan ialah perlu pelarasan fiskal dalam perbelanjaan negara khususnya dalam mengurangkan perbelanjaan.

“Persoalannya kenapa subsidi syarikat kroni dalam IPP berjumlah RM19 bilion tidak dipotong?

“Kenapa mahu bina menara 100 tingkat yang kosnya mencacah RM5 bilion yang akhirnya rakyat tak dapat keuntungan darinya.

“Kenapa kos permulaan penubuhan Pemandu di bawah JPM berjumlah RM66 juta yang hanya diperolehi oleh orang-orang tertentu sahaja?” soalnya.

Sepatutnya, kata beliau pengurangan fiskal mesti dibuat dalam pentadbiran kerajaan, bukannya dengan tarik hak rakyat marhaen.

Ujarnya, mahasiswa merasakan alasan untuk mengurangkan subsidi bagi bahan keperluan asas rakyat ini sangat tidak masuk akal.

Soalnya, di mana slogan rakyat didahulukan yang dilaungkan sebelum daripada ini sekiranya perkara keperluan asas rakyat juga boleh diperdagangkan.

Tambahnya, soal yang lebih besar bila harga petrol dan diesel naik akan menyebabkan harga barangan lain akan naik secara lansungnya.

Katanya, itu sifar yang mudah dan sering berlaku.

Menurutnya, kenaikan harga komoditi ini tidak serentak dengan kenaikan pendapatan rakyat akan menyebabkan kos sara hidup dan beban rakyat akan bertambah.

“Kesan ini juga akan mengena kepada mahasiswa yang hanya mempunyai pinjaman PTPTN yang sedikit ditambah beban yang mahal akan lebih memerlukan lagi suasana,” katanya.

Sehubungan itu, katanya Gamis menyeru untuk kerajaan mengkaji semula berkaitan subsidi khususnya yang melibatkan kepentingan rakyat.

“Jangan kerana nak menjaga poket kroni, duit rakyat dikebas,” ujarnya.

Tambahnya, Gamis akan berusaha menyedarkan golongan muda bahawa duit mereka telah dirampas oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan seharusnya anak muda akan membuat perubahan pada pentadbiaran politik yang paranoid pada masa sekarang.

Menurutnya lagi, mahasiswa akan bersama turun pada demonstrasi rakyat Selangor, esok bersama dengan memorandum yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan isu kenaikan harga barang ini.

Baginya, walaupun demostrasi ini telah diberikan amaran oleh pihak polis untuk tidak diadakan, namun mahasiswa rasa pihak polis kena fikirkan soal rakyat pula, bukan hanya melutut kepada arahan pemerintah semata-mata.

“Demonstrasi ini berada dalam keadaan aman jika pihak polis tidak buat kacau kerana rakyat turun dengan cara baik untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong yang menjadi payungan kepada rakyat,” ujarnya.

Naik harga bukti ekonomi negara tenat
Rizal Tahir


KOTA BHARU, 4 Dis: Harga petrol dan diesel yang naik bermula hari ini masing-masing 5 sen untuk seliter, membuktikan ekonomi kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin tenat.

Sambil melahirkan rasa dukacita di atas perkara itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut meminta kerajaan menarik balik slogan kerajaannya ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, kerana kenaikan harga minyak termasuk gula tidak menggambarkan ciri-ciri itu.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas merasmikan majlis khatam perdana Dun Chempaka di Pusat Tarbiah Islamiah (Putik), di sini hari ini.

Tuan Guru turut berkata, pengumuman projek yang bakal dilaksanakan rakyat hanya ‘gula-gula’ untuk bersiapan pilihan raya umum yang akan datang.

“Hakikatnya kerajaan tidak ada duit, tetapi untuk mencanangkan kepada rakyat seluruhnya mereka masih mampu, terpaksa mencanangkan projek itu dan projek ini.

“Apa yang pasti bila harga minyak naik, bukan setakat gas dan gula sahaa akan naik, sebaliknya barang-barang keperluan utama lain juga akan naik,” ujarnya.

Tambahnya, sekiranya harga gula naik, rakyat boleh dinasihati agar kurangkan menggunakan bahan berkenaan.

“Tetapi kalau harga minyak naik, apa kita nak tipu rakyat lagi? Bandingkan dengan kerajaan lain?, ianya tidak sama sebab kita pengeluar minyak,” ujarnya lagi.

Sambungnya, akibat kenaikan harga minyak juga, gejala sosial seperti merompak, mencuri semakin berleluasa kerana ingin mendapatkan dana dengan cara mudah bagi menampung keperluan harian.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya menilai kemampuan kerajaan BN hari ini khususnya di bawah Najib yang semakin bermasaalah khususnya berkaitan ekonomi.

“Rakyat perlu menghukum kerajaan ini, khususnya pada pilihan raya umum nanti, itu saja caranya,”ujarnya.

Seramai 85 kanak-kanak mengikuti program khatam berkenaan. Sebanyak RM30 ditanggung oleh Dun Chempaka untuk seorang kanak-kanak, RM20 lagi ditanggung keluarga sendiri.

Beliau turut berkata, berkhatam mula diikuti oleh orang bukan Islam kini kerana mereka yakin ianya untuk kebersihaan

“Ini bererti Islam dah berjaya menunjukkan perkara yang betul hingga diikuti oleh bukan Islam,” ujarya lagi.

Gantung Anwar tambah sokongan - Nasharudin
Hafiz Baqi


KEMAMAN, 4 Dis: Pengantungan ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat akan menambahkan lagi sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat (PR), kata Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa.

Beliau menegaskan tindakan itu tidak sekali-kali akan menjadikan PR lemah.

(Gambar: Nasharuddin dan Mazlan melakukan gimik sempena perasmian program Himpunan Kebangkitan Rakyat Tertindas (Bangkit)

Mengulas perkembangan tersebut selepas merasmikan program Himpunan Kebangkitan Rakyat Tertindas (Bangkit) dekat sini, Nasharuddin berkata tindakan mengantung Anwar bakal menambah kemarahan rakyat yang akan melihat ruang demokrasi negara semakin menuju kehancuran.

Kata beliau, rakyat sedang melihat bagaimana tekanan dilakukan kepada media, sekatan ceramah dan larangan berhimpun di premis sendiri dan kali ini (rakyat) sedang menyaksikan sebuah institusi yang dikatakan kebal menyuarakan apa sahaja (Parlimen) oleh ahlinya turut dicabul ruang kebebasannya.

"Dalam Dewan Rakyat hanya dua perkara sahaja yang tidak boleh dibincangkan iaitu isu berkaitan Raja-Raja dan kes yang sedang dibicarakan di Mahkamah. Perkara-perkara lain bebas untuk dibangkit atau dipersoal oleh ahli-ahli dewan termasuk perkata yang dibangkitkan oleh Anwar itu," katanya.

Tindakan mengantung Anwar dikatakan berkaitan dengan isu pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membayar sebuah firma perunding yang didakwa mempunyai hubungan dengan Yahudi iaitu Apco Worldwide melebihi RM70 juta.

Isu pembabitan apa yang didakwa sebagai anasir Yuhudi dalam pentadbiran kerajaan pernah menjadi perdebatan hangat dalam negara sebelum ini termasuk mengaitkannya dengan idea konsep 1Malaysia selain dikatakan telah meresap dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Kata Nasharuddin, Anwar mungkin akan digantung dari menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.

Anwar dalam kenyataanya sebelum ini mengakui keputusan tersebut berkaitan dengan isu Apco yang sepatutnya dibuat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang memerlukan beliau dipanggil untuk memberi keterangan dan membela diri.

Bagaimanapun Anwar mendakwa beliau tidak pula dipanggil untuk memberikan keterangan yang lebih jelas. Begitu juga dengan usul yang dikemukakan oleh beliau untuk membincangkan perkara itu secara khusus sering ditolak oleh Dewan Rakyat.

Felda labor RM23 juta setahun dalam Lim Kok Wing

Sementara itu, ketika berucap merasmikan Bangkit, Nasharuddin berkata kerajaan mengakui Felda melabur sebanyak RM23 juta setahun dalam sebuah pusat pengajian tinggi swasta iaitu Lim Kok Wing untuk membawa anak-anak peneroka belajar di situ.

Mengulas lanjut, Timbalan Presiden PAS itu berkata, kenyataan itu merupakan sata fakta jelas pemimpin Umno yang menerajui negara sebenarnya hipokrik tentang ketuanan Melayu yang dilaung-laungkan.

Katanya, bukan sahaja biasiswa kepada bumiputra ditarik balik, bahasa Melayu dikhianati, membantu pusat pengajian tinggi swasta milik orang Melayu pun mereka (pemimpin Umno) tidak berminat.

"Saya bukan bermasalah dengan Lim Kok Wing, tetapi kalau betul Umno memperjuangkan Melayu kenapa sebuah agensi seperti Felda itu tidak dibawa melabur ke IPT swasta milik orang Melayu, sedangkan seperti kita sedia maklum ada IPTS milik orang Melayu yang daif dan memerlukan suntikan modal," kata beliau.

Malah tambahnya, dengan jumlah sebanyak RM23 juta setahun itu Felda sendiri mampu menubuhkan sebuah IPT miliknya kerana ia sangat mencukupi.

"Soalnya kenapa mereka tidak berbuat demikian? kerana inilah caranya golongan ini mengaut keuntungan dan kekayaan untuk diri sendiri dan kroni," ujarnya.

Sambutan hangat

Program Bangkit yang diadakan sepanjang hari mendapat sambutan mengalakkan khususnya dari kalangan peneroka Felda, Felcra dan individu yang tanah dirampas oleh kerajaaan.

Sepanjang program, rata-rata ahli panel dan pemidato menyentuh masalah peserta tanah-tanah rancangan seperti peneroka Felda yang ditindas dan dinafikan haknya.

Sebanyak dua kertas kerja dibentangkan masing-masing oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang , Tengku Hassan Tengku Omar (Perampasan Tanah Rakyat, Suatu Pendedahan dan Tindakan Semasa) dan Peguam Aminuddin (Perjuangan Menuntuk Hak Peneroka Felda).

Slot khas turut diadakan untuk mendedahkan kepincangan pengurusan Felda oleh Pengerusi Alummni Bekas Kakitangan Felda, Khamis Saat yang menceritakan pengalamannya dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Felcra Lubuk Sireh, Perlis, Radzi Musthapa.

Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, manakala sebelah malan ceramah khas oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman.

Kerajaan negeri mahu beli Penang Port
Mohd Sabri Said


GEORGETOWN, 4 Dis: Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat membeli dan mengambil alihan Penang Port Sdn Bhd selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa setiap penswastaan utama dan penganugerahan projek akan dilaksanakan dengan telus dan terbuka menerusi tender antarabangsa untuk memaksimumkan hasil.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menerusi surat yang dikirimkan kepada Najib pada 2 Disember lepas juga berharap satu perbincangan diadakan dan beliau sendiri akan membentangkan cadangan kerajaan negeri tentang struktur, strategi dan mekanisma rancangan untuk kemajuan Penang Port.

"Kerajaan negeri berhasrat membeli Penang Port menerusi tender terbuka sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan setelah menerima kertas cadangan dari pihak swasta untuk mengambi alih dan membeli Penang Port.

“Jika Kerajaan Negeri dapat menguasainya pasti pertumbuhan ekonomi di bahagian utara yang merupakan penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta hasil cukai negara boleh dipertingkatkan," ujarnya.

Pelabuhan yang berdaya saing tambahnya, memerlukan penambahbaikan seperti logistik dan perkhidmatan pelabuhan sebagai sebuah hab untuk Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Sumetera Utara dan selatan Thailand.

Beliau bertekad akan membawa masuk rakan kongsi teknologi asing dan tempatan bagi mengendalikan pelabuhan berkenaan dan kemudahannya ke tahap antarabangsa.

Bukan itu sahaja, malahan kerajaan negeri bercadang mewujudkan satu Lembaga Penasihat terdiri dari tokoh termuka dari Malaysia dan antarabangsa yang berpengalaman luas dalam bidang pelaburan, keupayaan dan berkelayakan bagi pengurusan pelabuhan.

"Untuk menseimbangkan Lembaga Penasihat yang akan diketuai oleh Najib sendiri satu kaedah baru akan diguna pakai sebagai tatacara urustadbir yang bertaraf antarabangsa selaras dengan prinsip CAT iaitu Cekap, Akautabiliti dan Telus," tegas beliau.

Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih berharap jika sekiranya kerajaan negeri dapat memilikinya penjanaan ekonomi negeri akan melonjak ke arah yang lebih mapan dalam jangka sederhana dan panjang.

Sekaligus, katanya memberi kelebihan kepada kerajaan negeri menyalurkan semula kepada pembangunan strategik dan projek sosial bagi tujuan menambah baik kehidupan rakyat Pulau Pinang.

BN zalimi rakyat marhaen
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 3 Dis: Kenaikan harga petrol RON95, diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan gula adalah bukti jelas kerajaan BN zalim kepada rakyat marhaen.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus berkata, rakyat marhaen paling terkesan dengan kenaikan itu kerana mereka adalah majoriti pengguna petrol RON95.

Sambil menyifatkan kenaikan mengejut itu sebagai 'gila', beliau mengharapkan rakyat menolak Umno BN yang secara terang terangan tidak mengutamakan rakyat terbanyak.

"Harap pengguna RON95 mesti tolak BN.

"BN zalimi rakyat marhaen, tak peduli kesusahan rakyat," katanya yang juga Pengarah Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Pusat.

Beliau mengulas kenaikan petrol RON95, sebanyak 5 sen menjadikan RM1.90 seliter, diesel naik 5 sen menjadikannya RM1.80 seliter manakala gas LPG juga naik 5 sen menjadikan harganya RM1.90 sekilogram.

Harga gula pula naik 20 sen menjadikan harganya RM2.10 sekilogram.

Kerajaan terus memberi alasan sama terhadap kenaikan itu dengan mendakwa ianya bagi menyelaraskan subsidi.

Semua harga baru itu berkuatkuasa pada jam 12.01 pagi esok.

Dua hari lalu, petrol RON 97 naik sebanyak 15 sen kepada RM2.30 seliter.

Kenaikan itu berikutan perubahan harga pasaran yang diapungkan sejak Julai lalu.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata, ketidakprihatinan BN kepada nasib rakyat bukan lagi dongeng semata-mata.

Ianya terbukti, apabila rakyat terus dibebankan sedangkan Perdana Menteri semalam mengumumkan akan meneruskan cadangan membina Menara Warisan 100 tingkat yang tiada manfaat secara langsung kepada rakyat.

"Kalau betul ikhlas, batalkan sahaja niat nak buat menara 100 tingkat, guna duit tu tampung beban rakyat.

"Saya tengok rakyat hanya diguna untuk pilihan raya sahaja," katanya lagi.

Lebih malang, kenaikan itu berlaku diwaktu rakyat sedang terbeban dengan persiapan persekolahan sesi akan datang.

Kesan kenaikkan itu juga jelasnya, memberi alasan kepada peniaga barangan menaikkan harga barang mereka dan menyebabkan pengguna sekali lagi terbeban.

"Saya hairan, kenapa menteri tak umum di parlimen, sedangkan parlimen tempat bincang masalah rakyat," soalnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat turun beramai-ramai pada himpunan membantah kenaikan harga air oleh Syabas di Masjid Negara, Ahad ini.

Biarpun himpunan itu bagi membantah tindakan Syabas menaikkan tarif air Selangor, kesempatan itu juga jelasnya wajar diguna untuk menyatakan bantahan terhadap kenaikan harga barangan keperluan tersebut.

Fitnah: Nampak sangat kerajaan takut
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 3 Dis: PAS mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bimbang penyelewengan kerajaan BN akan terbongkar sehingga beliau mengingatkan pemimpin pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara supaya tidak terjebak dengan fitnah yang ditabur oleh media yang menyokong pembangkang.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, Muhyiddin bercakap seolah-olah kerajaan pada hari ini tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan terhadap media pembangkang jika ada unsur fitnah.

Tambahnya, banyak akta yang ada di Malaysia, seperti Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA), Akta Pertubuhan, Akta Mesin Cetak, Akta Universiti Kolej, Akta Keselamatan Dalam Negeri yang boleh bertindak.

Menurutnya, nampak sangat kerajaan BN pada hari ini takut dengan bayang-bayang.

“Muhyiddin hendak menutup bangkai gajah dengan tudung saji, sedangkan penyelewengan Umno tidak dapat dibendung lagi, kerana seluruh dunia sudah mengetahui.

“Siapa tidak tahu Malaysia negara rasuah. Siapa tidak tahu Malaysia mempunyai khazanah negara yang banyak tetapi dibolot oleh pemimpin sehingga rakyat derita,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Rakyat, katanya akan dapat tahu lebih banyak setelah kerajaan BN tumbang nanti, sebagai mana yang telah diselongkarkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat pada hari ini.

Tambahnya, Timbalan Presiden Umno itu buat-buat lupa, pada hal media Umno yang melemparkan fitnah kepada pemimpin Pakatan Rakyat seperti memfitnah Datuk Seri Nizar Jamaludin derhaka kepada Sultan Perak, memutarkan berita bacaan doa kepada Lim Guan Eng dalam khutbah, wang untuk warga emas yang beragama Islam difitnah daripada wang judi.

Baginya, Muhyiddin hanya membuang masa bercakap kepada orang yang cerdik di kalangan pelajar.

“Mereka ini dengar, masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Pelajar bukan orang yang bodoh, mereka golongan terpelajar. Segala tuduhan, pelajar tidak telan bulat-bulat, dan mereka tidak rela untuk diperbodohkan oleh pemimpin Umno,” katanya.

Mereka, katanya pergi mendengar kerana dipaksa rela, bukan suka rela manakala Muhyiddin boleh berleter apa sahaja yang beliau mahu.

“Apabila pelajar balik membuka internet untuk menyaring apa yang didengar tadi. Inilah untungnya zaman multimedia, dunia tanpa sempadan,” ujarnya.

Tetapi, ujarnya lagi pada zaman langit terbuka ini menjadi mimpi ngeri kepada pemimpin Umno, kerana dalam sekelip mata segala fitnah yang mereka lemparkan kepada pembangkang akan mendapat jawapan sebenarnya.