Custom Search
"DEMI MASA MANUSIA SENTIASA DALAM KERUGIAN"

Monday, June 14, 2010

Laporan PPLRNK buka tanah satu pembohongan
Harakahdaily

KOTA BHARU, 14 Jun: Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan (PPLRNK), Dr Nazmi Ghazali Azmi berharap agar media lebih bertanggungjawab dalam laporannya dengan merujuk kepada pihak berwibawa.

Beliau merujuk kepada kenyataan yang disiarkan oleh salah satu media aliran utama baru-baru ini yang melaporkan bahawa (PPLRNK) terlibat dalam pembukaan tanah yang membawa kepada kemusnahan tanaman penduduk kampung dan masyarakat Orang Asli di kawasan berhampiran Felda Aring 5.

Katanya, pihak perbadanan menafikan sebarang bentuk penglibatan oleh pihak perbadanan di dalam aktiviti-aktiviti pembangunan tanah atau ladang di kawasan seperti yang disiarkan oleh media tersebut.

PPLRNK juga, ujarnya menafikan wujud sebarang hubungan dengan individu atau syarikat yang membuka tanah ladang di kawasan tersebut.

Menurutnya, dakwaan bahawa perbadanan ataupun ejen perbadanan terlibat dalam kerja-kerja tersebut merupakan satu pembohongan dan fitnah oleh pihak-pihak tertentu.

Tambahnya, manakala laporan media berkenaan mengenai perkara tersebut merupakan laporan yang salah dan dibuat tanpa merujuk terlebih dahulu kepada pihak perbadanan ataupun pihak-pihak berwibawa yang lain.

“Berikutan ini satu laporan polis akan dibuat supaya siasatan mengenai isu yang dianggap amat serius ini dapat dijalankan oleh pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Justeru, beliau berharap agar semoga isu yang disiarkan oleh media tersebut dapat ditangani dengan sebaiknya oleh pihak-pihak yang sebenarnya terlibat dalam masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat dan masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut.

Lesen judi: Pemuda PUM bantah Mahathir
Mohd Dzul Khairi

Pemuda Persatuan Ulama Malaysia (PUM) membantah sekeras-kerasnya pandangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyokong kelulusan lesen judi yang digembar-gemburkan sekarang. Pandangan tersebut adalah jauh menyimpang daripada sifat keagamaan yang mengharamkan judi dan menyamakannya dengan peranan iblis.

Judi dalam Bahasa Arab disebut sebagai al-maisir, yang bererti mudah. Mudah mendapat keuntungan, mudah juga jatuh kerugian, malah sangat mudah menimbulkan sengketa dan pergaduhan. Judi merupakan sifat manusia yang tidak bertamadun dan jauh daripada semangat berdikari rakyat Malaysia.

Dahulu ada pandangan mahu memberikan jarum suntikan percuma kepada penagih dadah. Pemuda PUM melihat, ini semua berpunca daripada pemikiran Barat yang diwarisi oleh beberapa orang pemimpin di samping liberalisasi pemikiran yang semakin bertunjang kukuh di negara ini.

Tun Dr Mahathir mengatakan lesen judi dibuat untuk mengawal aktiviti perjudian. Ini merupakan satu pemikiran yang amat naïf. Jika begitu, kami cadangkan agar dibuat rumah untuk orang melakukan aktiviti persetubuhan haram. Kami juga mahu cadangkan agar kerajaan menyediakan satu tempat yang khusus untuk penagih dadah. Dalam masa yang sama, kami cadangkan agar arak dijual secara halal di mana-mana premis dengan tujuan pembendungan dan pengawalan.

Namun Islam tidak bersifat begitu. Cara Islam mengawal bukan dengan memberi dan meluluskan lesen. Cara Islam mengawal ialah dengan menyekat, mendidik dan menakut-nakutkan tentang bahaya dan risiko. Apa lagi orang yang berjudi akan boleh membawa risiko kepada keluarga mereka masing-masing.

Apabila Islam mengharamkan zina, Islam menyatakan “Jangan mendekati zina”. Mukaddimah kepada zina pun tidak boleh, apa lagi perzinaan. Orang yang kalah berjudi ada yang menggadaikan maruah isteri sendiri. Apabila Islam melarang Nabi Adam daripada makan buah khuldi, Allah mengatakan “Jangan mendekati pokok buah khuldi”, bukannya Allah mengatakan “Jangan makan buah”. Inilah Islam.

Apapun, Pemuda PUM tidak hairan dengan pemikiran naif Tun Dr Mahathir kerana beliau dahulu pun banyak menyindir hukum-hakam Islam. Mulut beliau petah berbicara dan lantang bersuara tentang pembebasan Palestin tetapi sifat beliau mewarisi keburukan Bani Israel. Palestin tidak akan bebas dan tidak memerlukan kapal Global Peace sekiranya pemimpinnya masih bersikap demikian, meskipun 1,000 buah kapal sekalipun berjaya sampai di Gaza.

Mohd Dzul Khairi Mohd Noor,

Ketua Pemuda PUM

Anwar paling layak pemimpin utama PR - Nik Aziz
Harakahdaily

KOTA BHARU, 14 Jun: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau menyokong penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin nombor satu Pakatan Rakyat kerana beliaulah paling layak dan sudah teruji.

“Saya tak mahu jadi orang nombor satu, walaupun ada orang yang mencadangkan saya begitu. Dari dulu lagi saya sentiasa menyebut orang paling layak ialah Anwar sebab dialah orang yang telah lalui tahap peperiksaan (ujian) fizikal dan mental.

“Kalau orang lantik saya, saya akan beri pada dia," kata Nik Aziz kepada media selepas merasmikan Simposium Persatuan Biologi Gunaan Malaysia Ke-11, di sini hari ini.

Nik Aziz juga berkata, Anwar juga telah lulus ujian dari segi moralnya apabila menghadapi segala cabaran dengan tabah dan penuh dedikasi.

Beliau ditanya apa komen beliau terhadap cadangan seorang perwakilan dalam muktamar PAS selepas kejayaan beliau memimpin PAS dan kerajaan negeri Kelantan selama 20 tahun.

Dalam saranannya, perwakilan dari Perlis Wan Khairizal Wan Hazim berkata gaya kepimpinan Nik Abdul Aziz juga diterima semua pihak dalam komponen pakatan pembangkang itu.

Sebelum ini, Datuk Zaid Ibrahim yang kini menyertai PKR mencadangkan agar Nik Aziz dilantik sebagai Pemimpin Spiritual (Spiritual Leader) Pakatan Rakyat.

Mengulas mengenai pandangan wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang menyamakan beliau dengan pemimpin ulung India Mahatma Gandhi, Nik Abdul Aziz berkata: “Tidak mengapa, saya terima daripada segi sifat orang melihat saya.”

Hanya 600 sertai perhimpunan Melayu Bangkit
Sazali Md Noor


KUALA TERENGGANU, 14 Jun: Hanya kira-kira 600 peserta menyertai perhimpunan Melayu Bangkit di stadium tertutup Kuala Terengganu pagi ini.

Perhimpunan yang sepatutnya diadakan 13 Mei lalu diadakan hari ini dengan tetamu khasnya adalah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed.

Menurut pengerusi penganjur program, Razali Idris, terdapat 40 NGO yg bergabung di majlis ini.

Perhimpunan yang sepatutnya berlangsung pada 13 Mei, iaitu hari berlakunya tragedi rusuhan perkauman, ditentang oleh pelbagai pihak selepas ia didedahkan oleh PAS dalam satu sidang media di Kuala Lumpur.

Dalam sidang itu, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dan Setiuasaha Agung, Datuk Mustafa Ali kesal dengan perhimpunan yang bakal menaikkan semangat perkauman sempit itu.

Ekoran itu pelbagai pihak membantahnya termasuk rakan-rakan kongsi Umno dalam Barisan Nasional iaitu MCA, MIC dan Gerakan.

Ekoran itu, pihak penganjurnya telah menangguhkan perhimpunan itu ke hari ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir telah berucap dengan mengungkit sejarah politik dan kemerdekaan negara.

Menurut beliau, sudahlah pengundi Melayu hanya 60 peratus sahaja di negara ini, mereka pula berpecah kepada tiga kumpulan iaitu Umno, PAS dan PKR.

Beliau juga menyindir bekas timbalannya, tanpa menyebut nama Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan berkata "mata hitam yg mempunyai tabiat buruk, tidak boleh dibenarkan terus memimpin orang Melayu."

PAS yakin ke Putrajaya
Hazayani Zakaria

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang optimis PAS dan Pakatan Rakyat mampu menawan Putrajaya suatu hari nanti.

Beliau sewaktu menyampaikan ucapan penangguhan pada Muktamar Tahunan PAS ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) hari ini berkata, tidak mustahil suatu hari nanti Pakatan Rakyat berjaya mentadbir negara melihat kepada sokongan yang biberikan oleh rakyat termasuk orang bukan Islam terhadap PR.

"Ke Putrajaya insya Allah, kita membawa kemenangan. Orang kata kita bermimpi, tapi kta bermimpi yang soleh," katanya disambut tepukan gemuruh para perwakilan.

Beliau juga berkata, sekiranya syariat Islam benar-benar diamalkan di negara ini, segala permasalahan sosial yang melanda negara dapat diselesaikan.

"Jika benar-benar kita mengamalkan syariat Allah, insya Allah segala permasalan sosial dan moral dapat diseesaikan," katanya.

Beliau berkata, PAS berada dalam bahtera yang selamat bersama rakan-rakan Pakatan yang lain.

"Yakinlah, kita sekarang ini berada dalam bahtera yang selamat. Teruslah bersama Pakatan Rakyat untuk ke Putrajaya," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji mutu perbahasan seluruh perwakilan yang disifatkan sebagai matang dan menepati isu.

"Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah kepada seluruh perwakilan yang menyampaikan perbahasan yang mutunya semakin meningkat," katanya.

Nasharuddin tempelak profesor minta PAS tukar nama
Wartawan Kita

Ustaz Nasharuddin Mat Isa mencadangkan seorang profesor institusi pengajian tinggi menukar namanya terlebih dahulu sebelum menuntut PAS menggunakan nama baru kerana membenarkan calon bukan Islam bertanding mewakili parti itu.

"Ada seorang profesor mahu PAS tukar nama kerana membenarkan orang bukan Islam menjadi calon.
Sebelum dia meminta PAS tukar nama lebih baik nama dia sendiri ditukar terlebih dahulu.

"Tafsiran yang dibuat profesor itu kononnya PAS sudah mengadai prinsip kerana telah hilang keasliannya adalah tidak benar," kata Timbalan Presiden PAS itu pada penggulungan ucapan dasar presiden petang ini.

Sedangkan kata beliau keputusan untuk membenarkan bukan Islam bertanding menggunakan lambang PAS dibuat Majlis Syura Ulama selepas memperhalusi perkara itu sejak sekian lama.

Beliau berkata, profesor terbabit menyebut PAS telah menggadaikan prinsip, sedangkan Islam sebenarnya bukan milik satu kaum sahaja.



"Kalau Islam hanya untuk satu kaum sahaja maka lebih aula Islam milik orang Arab kerana Islam diturunkan di negara berkenaan. Sebenarnya perkembangan terbaru yang berlaku dalam PAS amat membimbangkan Umno," katanya.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi tempatan, Prof Datuk Dr Zainal Kling mencadangkan PAS menggugurkan perkataan Islam kerana membenarkan calon bukan Islam bertanding mewakili parti itu pada pilihan raya umum akan datang

Pada ucapan yang sama Nasharuddin menyahut cadangan seorang perwakilan supaya Timbalan Presiden atau Presiden PAS berdebat dengan pemimpin tertinggi Umno dalam isu kelulusan lesen judi bola sepak.

"Saya meminta persetujuan muktamar hari ini untuk berdebat dengan Timbalan Presiden Umno. Tan Sri
Muhyiddin Mohd Yassin mengenai isu kelulusan lesen judi bola.

"Tugas kita membuat penjelasan sama ada melalui debat dengan pemimpin tertinggi Umno atau cara lain. Saya cabar Timbalan Presiden Umno untuk berdebat isu judi pada bila-bila masa sahaja," katanya.

PAS tidak mahu tanggung 'biawak hidup'- Presiden
Nazri Abdullah


Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS menolak perpaduan dengan Umno kerana tidak mahu menanggung "biawak hidup" dan yakin tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah.

Berucap sewaktu penangguhan Muktamar Tahunan kali ke-56 di Pusat Tarbiayah Islamiah Kelantan (Putik) hari ini, beliau juga berkata, Umno juga telah rosak akibat amalan rasuah yang berleluasa diamalkan mereka.


"Kita menolak perpaduan dengan Umno. Perpaduan menanggung biawak hidup, menyanjung rasuah," katanya.


Keburukan Umno juga katanya turut diakui bekas pemimpin mereka sendiri yang melihat Umno sudah tiada masa depan.

Umno juga katanya sudah jelas ditolak rakyat semenjak PRU ke-12 lalu.

"Tak ada pasal-pasal kita nak pikul orang yang sakit sampai ke usus ini," katanya lagi.

Menjelas lanjut pada sidang media selepas itu, ustaz Hadi mengulangi penegasannya bahawa PAS menolak perpaduan dengan Umno.

Ianya antara lain kerana Umno juga mengamalkan perkauman sempit.

"Gagasan dengan BN tak boleh selesai masalah kerana mereka masih tebal dengan perkauman malah dibejati dengan rasuah," tegasnya.

Ahli PAS di segenap peringkat katanya mempunyai tugas besar untuk membebaskan bangsa Melayu dari kejahilan perkauman yang telah ditanam Umno.

Umno katanya terlalu mementingkan bangsa dari agama sehingga sanggup menjadikan bangsa sebagai akidah perjuangan mereka.

Semangat asobiyah katanya juga tidak salah, namun perlu dimanfaatkan untuk perjuangan Islam.

"Tak salah sayang bangsa sendiri, tapi jangan sampai bangsa dijadikan akidah.

"Islam dulu baru asobiyah," katanya lagi.

Mengulas muktamar pula, beliau berpuas hati dengan keseluruhan perjalanan sepanjang muktamar berlangsung.

Perwakilan katanya dilihat bersedia malah isu yang dibangkitkan juga dikupas dan dibahas dengan jelas.

Malah lebih penting katanya, muktamar PAS kali ini berlangsung dalam suasana penuh persaudaraan yang dapat disaksikan oleh kesemua yang hadir.

Kerjasama dengan bukan Islam PAS, Umno berbeza
Hazayani Zakaria

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan kerjasama PAS dengan orang bukan Islam adalah berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Umno dengan parti komponen dalam Barisan Nasional.

Beliau sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan pada muktamar PAS kali ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) hari ini berkata, kerjasama PAS dengan orang bukan Islam sehingga tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) berkata, perkara itu adalah ajaran Islam.

"Penubuhan DHPP berdasarkan Islam dan konsep kerjasama PAS dengan bukan Islam, tidak sama dengan kerjasama Umno dengan rakan-rakan mereka.

"Kerjasama kita adalah tahaluf siyasi, tapi kerjasama Umno dengan parti lain sehingga menggadai prinsip," katanya.

Menurutnya juga, Islam mengizinkan kita membenarkan penglibatan orang bukan Islam dalam politik," katanya lagi.

Beliau berkata, penubuhan DHPP itu juga menandakan dua tongkat Umno iaitu sokongan orang Cina dan India sudah hilang, namun orang Melayu masih menyokong Umno.

"Sekarang Alhamdulillah dua tongkat yang menjadi pergantungan Umno sudah rapuh. Cuma orang Melayu masih menyokong Umno. Nak membela orang Melayu dengan ISlam, bukan denagn Islam. Rasulullah membela orang Arab dengan Islam, bukan dengan Arab," katanya.

Beliau turut melahirkan kegembiraan dengan sokongan yang ditunjukkan oleh semua perwakilan terhadap penubuhan DHPP.

Sedangkan ujarnya, suatu ketika dahulu PAS pernah dicemuh tidak dapat mentadbir negara kerana Malaysia mempunyai masyarakat majmuk.

Namun katanya, hari ini PAS berjaya membuktikan keupayaan PAS menarik sokongan bukan Islam.

"Semua perwakilan menyatakan sokongan kepada penubuhan DHPP dan dapat ulasan yang baik dari pemerhati luar termasuk media. Pada tahun 50-an dan 60-an dahulu, ramai yang kata PAS tak boleh perintah negara kerana Malaysia rakyatnya majmuk," katanya.

Kerjasama dengan bukan Islam, sejak zaman Rasulullah
Harakahdaily

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan seluruh kepimpinan dan ahli PAS, agar tidak gentar dengan serangan Umno BN berhubung hubungan PAS dengan DAP.

Tahaluf Siyasi atau kerjasama politik antara Islam dengan bukan Islam jelasnya sudah wujud sejak zaman Rasulullah s.a.w lagi.

Menurutnya, apa yang penting sekarang ini, adalah menjelaskan kepada Umno, bagaimana sirah perjuangan Rasulullah s.a.w dan hubungan baginda dengan bukan Islam dalam memastikan dakwah Islam terus tersebar.

"Tolong bagitahu kawan kita Umno, nabi dulu sampai sanggup berkawan rapat dengan orang bukan Islam demi menyebarkan dakwah Islam.

"Nabi sampai tahap mahu padam perkataan Rasulullah pada surat-surat yang dihantar kepada orang bukan Islam agar tidak menyekat mesej dakwah sampai kepada mereka," katanya yang juga menteri besar Kelantan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Muktamar Tahunan PAS keli ke-56, di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (Putik) petang ini.

PAS katanya bergerak atas dasar yang jelas iaitu Islam sejak dari penubuhannya.

Tambahnya lagi, PAS juga katanya tidak pernah menggadaikan prinsip agama Islam biarpun menjalinkan kerjasama politik dengan parti bukan Islam.

Sehubungan itu, Umno katanya disaran mempelajari dsan mengkaji sirah Rasulullah s.a.w agar memahami bagaimana cara baginda memastikan dakwah Islam itu boleh tersebar.

Judi: PAS cabar Muhyidin debat
Harakahdaily

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa mencabar Umno berdebat isu kelulusan lesen judi yang diluluskan kerajaan sempena bola sepak piala dunia.

Cabaran itu dutujukan khusus kepada Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yasin agar menyatakan kesediaan menyahut cabaran debat tersebut.

"Hari ini saya mencabar Timbalan Presiden Umno untuk berdebat dalam isu judi," katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan hari ini.

PAS jelasnya sentiasa bersedia menjelaskan kepada rakyat berhubung kenapa Islam melarang kerans amalan judi.

Selain itu beliau dalam ucapannya juga turut menyampaikan harapan daripada penduduk Gaza dan gerakan Islam Hamas di Palestin yang mahukan PAS mengetuai satu lagi misi khas kemanusiaan ke Gaza.

"Permintaan terbaru dari rakyat Gaza, dari Hamas dan dari gerakan Islam antarabangsa mahu Malaysia diketuai PAS, hantar satu kapal dengan ada bendera PAS, bersama-sama NGO lain bawa bantuan kemanusiaan," katanya lagi.

PAS diperingkat antarabangsa katanya memainkan peranan besar menyuarakan pandangan gerakan Islam Malaysia.

Menurutnya PAS juga sentiasa diajak berbincang apa sahaja isu antarabangsa oleh gerakan Islam seluruh dunia.

Sehubungan itu, pemimpin di semua peringkat tegasnya perlu bersedia untuk berada sebaris gerakan Islam antarabangsa lain.