Custom Search
"DEMI MASA MANUSIA SENTIASA DALAM KERUGIAN"

Friday, June 11, 2010

Persiapan perlu rapi sebelum ke Putrajaya
Izwan Abdul Halim

Hasrat PAS untuk menuju ke Putrajaya perlu disusuli dengan persiapan
secara bersungguh-sungguh sehingga ia mampu menjadi kenyataan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, banyak orang mempunyai
cita-cita besar tetapi ia sekadar angan-angan sahaja.

Beliau berkata, untuk menjadikan cita-cita itu kenyataan, perlu tindakan dilakukan bagi
memperkukuhkan PAS itu sendiri.

Ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-56 di Pusat
Tarbiyyah Islamiyyah Kelantan, Pengkalan Chepa, petang tadi katanya usaha memperkasakan ahli
di seluruh peringkat parti perlu dilakukan.

Katanya juga berlaku peningkatan jumlah cawangan dan ahli PAS sekarang, namun beliau khuatir
kemasukan itu sekadar ikutan sahaja tanpa ada alasan yang kukuh.

"Parti perlu susun program kefahaman khusus kepada ahli baru. Kita tidak mahu yang masuk
terikut kawan atau sahabat, atau seronok ramai masuk PAS dia masuk PAS. PAS perlu merancang
perkara ini," ujar beliau.

Selain itu katanya, ahli lama pula perlu diberi perhatian dari segi meningkatkan kefahaman
semasa mereka kerana senario politik sekarang amat berbeza.

Beliau berkata, jangan pula dilupakan orang yang telah berjuang bersama kita kerana terlalu
asyik dengan rakan-rakan baru.

Kata beliau dahulu PAS bersendirian tetapi kini bersama rakan dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, perubahan yang berlaku itu perlu difahami dan dasar-dasar parti wajib terus
dipertahankan.

Bagi melaksanakan usaha ke arah itu katanya, ia memerlukan usaha yang tersusun dan
terancang.

Umno bukan pejuang bangsa dan agama
Muhd Yusri Amin

Perwakilan Perak, Drs Khalil Idham Lim Abdullah menolak Umno sebagai
parti yang memperjuangkan bangsa dan agama di negara ini kerana sanggup bersekongkol dengan
APCO Worldwide.

Beliau berkata, dosa-dosa Umno perlu diterangkan kepada rakyat sehingga mereka merasa jijik
untuk terus menyokong parti itu.

Katanya, apabila rakyat faham mengenai kedudukan sebenar, Umno akan menghadapi masalah pada
pilihan raya umum ke-13 untuk mengekalkan kuasa.

Ketika membahas usul ucapan dasar Presiden di Putik petang ini beliau berharap PAS terus
menggalas usaha untuk memasyarakatkan aktiviti bersama orang ramai.

"Tidak cukup untuk memberitahu rakyat perlu menolak Umno, tetapi hendaklah semua pihak dalam
PAS terutama mereka yang menang dalam pilihan raya lalu hendaklah memasyarakatkan PAS, PAS
Untuk semua," katanya.

Beliau turut menekankan pentingnya konsep 'parti menerajui kerajaan' sebagaimana
dipertegaskan ketika pemerintahan Pakatan di Perak sebelum ini.

Pakatan Rakyat di Perak, menurut Khalil bermula dari Gagasan Rakyat yang diketuai bekas
pesuruhjaya, Ahmad Awang.

Beliau juga berkata, rampasan kuasa yang berlaku di Perak merupakan peristiwa yang sukar
dilupakan rakyat di negara ini.

"Namun pengajaran dari rampasan kuasa itu membawa anjakan kepada rakyat memberi sokongan
kepada PAS dan Pakatan," katanya sambil menyifatkan kelainan sambutan terhadap muktamar kali
ini.

Perwakilan Terengganu, Saiful Bahri Mohamad berkata, tema PAS Untuk Semua perlu diuar-uarkan
dengan seluas mungkin.

Ini kerana beliau yakin bahawa perjuangan atas nama Islam tidak pernah diragukan, bahkan
sejak 1959 hingga kini ahli dan pimpinan PAS beristiqamah dengan dasar perjuangan.

Ini berbeza dengan pemimpin Umno yang mengekalkan peraturan penjajah. Bahkan pada 1961, bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman tidak mahu campur undang-undang Tuhan dengan undang-undang PAS bagi mengelakkan kononnya negara menjadi kacau bilau.

"Bagaimanapun, Umno pada PRU-12 lalu jelas menampilkan gelagat bagai 'harimau luka'
bertindak macam kehilangan panduan. Mereka mencalarkan imej negeri yang dikuasai Pakatan
bagi menaikkan imej Najib," katanya.

Justeru beliau mahu ahli dan pemimpin Pakatan menjauhi maksiat kerana ia menghalang kepada
kejayaan gerakan Islam. Dan dalam masa sama negeri dikuasai Pakatan hendaklah mempamerkan
imej yang baik.



Penekanan 4 prinsip muafakat Pakatan penting - Setiausaha Agung PKR Bashir Ishak


KOTA BHARU, 11 Jun: Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail (gambar) menyifatkan ucapan dasar Presiden PAS di Muktamar PAS ke 56 hari ini suatu ucapan yang komprehensif, lengkap dan menyeluruh mencakupi pelbagai perkara penting.

Antara lain menurutnya, Presiden PAS telah memberi penegasan semula terhadap empat prinsip muafakat rakyat yang telah diputuskan dalam konvensyen pertama Pakatan Rakyat di Shah Alam beberapa bulan lalu.

"Ini termasuk mempertahankan Islam sebagai agama rasmi, kedudukan Raja-raja Melayu, bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau di samping menjamin hak-hak orang Melayu dan bangsa asal.

"Dalam acara penting seperti ini dalam kalendar tahunan PAS untuk Presiden PAS kembali memperingatkan beberapa prinsip yang membawa kesepakatan dan muafakat di kalangan parti Pakatan Rakyat yang saya anggap sebagai satu peringatan yang signifikan untuk mengimbau kembali asas-asas kita dapat duduk bersama," katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin menganggap ucapan dasar ini penting bagi membentuk kekuatan dalaman PAS itu sendiri.

"Presiden PAS telah mengingatkan kembali asas-asas kekuatan PAS sebagai sebuah parti khususnya dalam mengingatkan kembali tugas utama dewan-dewan Ulama, Pemuda, Muslimat serta Dewan Himpunan Penyokong PAS.

"Di samping itu, Presiden PAS juga mengingatkan perwakilan tentang pentingnya untuk membina kekuatan dalaman parti. Presiden PAS juga turut membawa keluar untuk lihat senario politik dunia samada di timur atau barat.

"Dari perspektif Pakatan Rakyat saya lihat ucapannya lengkap dan menyeluruh yang memberi mesej untuk diamati oleh komponen parti," jelasnya.

Sementara itu, perwakilan dari Kapar Selangor, Dr Rani Osman (gambar) meminta supaya ahli PAS lebih terbuka dengan ilmu-ilmu baru dan meminta semua pihak turun ke bawah untuk bertemu rakyat.

"Semua peringkat dalam PAS kena turun ke bawah dan bertemu dengan semua sektor masyarakat bagi menyampaikan mesej PAS kepada rakyat. Kalau ucapan ini tidak di bawah ke bawah ia akan kekal dalam buku ucapan sahaja," kata beliau.

Dr Rani juga meminta para pemimpin PAS memfokaskan kembali kepada pengundi Melayu yang turut disebut dalam ucapan dasar Presiden kali ini.

"Menang atau kalah PAS dalam pilihan raya banyak bergantung kepada pengundi Melayu kerana kita bertanding di kawasan majoriti Melayu...ini kita kena ingat.

"Jadi usaha perlu dibuat untuk membolehkan mesej kita sampai ke kawasan-kawasan luar yang selama ini menjadi kubu musuh kita," kata Dr Rani.

50 tahun imej Islam tercalar di bawah Umno
Muhd Yusri Amin

PENGKALAN CHEPA, 11 Jun: Biar pun lebih 50 tahun negara merdeka, namun imej Islam yang murni
semakin tercalar akibat kegagalan dan ketidakadilan dilakukan Umno.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, keadaan itu berlaku meski pun
Umno yang didakwa menjadi teras Barisan Nasional (BN) mendabik dada kononnya mereka parti
penyelamat Melayu Islam dalam masyarakat majmuk.

“Namun hakikatnya mereka gagal, bahkan mengundang malapetaka kepada orang Melayu Islam,
membawa wajah yang salah kepada masyarakat majmuk menjadi realiti masyarakat Malaysia.

“Hasilnya imej Islam yang begitu murni tercalar akibat kegagalan dan ketidakadilan yang dibawa Umno,” katanya pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-56 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini.
Ucapan dasar bertema: “Islam Adil Untuk Semua”.

Beliau berkata PAS meneruskan ukhuwwah dengan semua kumpulan Islam dengan penuh tasamuh,
digerakkan ke arah melaksanakan tanggungjawab ‘amal Islami’ yang syumul di negara ini.

“PAS terus menerus beristiqamah melaksanakan Tahaluf Siyasi sejak 1982 di atas nama Islam
berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah.

“Pendekatan fikah politik Islam PAS menerusi amalan Tahaluf Siyasi dalam Pakatan Rakyat
dengan model Islam yang sebenar terus dilaksanakan," katanya.

Kata beliau kerjasama itu terbukti pada banyak siri pilihan raya di negara ini termasuk
terbaru di Sibu, Sarawak baru-baru ini.

Beliau juga berkata sudah sampai masanya muslimat wajib bersama muslimin berganding
melaksanakan tugas tanpa menjejaskan kewajipan dalam rumahtangga.

Menurutnya ini penting kerana suasana kebanjiran pemikiran menyerang umat dan merosakkan
masyarakat hasil daripada kuasa politik yang salah.

Selain itu beliau menggesa muslimat supaya meneruskan gerak kerja mendekati dan
menghimpunkan remaja wanita dalam program keagamaan, sukan dan kesenian.

Muslimat juga mesti mengambil inisiatif dan berperanan mendepani isu penindasan wanita,
remaja dan kanak-kanak secara lebih proaktif dan berkesan dengan menubuhkan institusi
kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Royalti: Kelantan bawa ke mahkamah 30 Ogos
Mohd Nor Yahya


PENGKALAN CHEPA, 11 Jun: Kelantan akan membawa tuntutan royalti negeri itu ke mahkamah 30 Ogos nanti selepas beberapa tindakan secara rundingan dilihat tidak membuahkan hasil.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Royalti, Datuk Husam Musa yang juga exco kerajaan negeri memberitahu demikian pada demonstrasi menuntut royalti selepas majlis perasmian muktamar sebentar tadi.

"Sebenarnya kita nak bawa pada hari kemerdekaan 31 Ogos, tapi oleh kerana mahkamah tidak berkerja pada hari tersebut, kita awalkan sehari," katanya disambut laungan takbir orang ramai.

Demonstrasi tersebut anjuran Dewan Pemuda PAS Kelantan yang diadakan di perkarangan Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) selepas Majlis Perasmian Muktamar PAS kali ke-56 hari ini.

Demonstrasi diketuai Ketua Dewan Pemuda, Abdul Latiff Abdul Rahman serta pimpinan pemuda PAS Kelantan dan disertai ribuan yang lain.

Abdul Latiff dalam ucapannya pula berkata, kezaliman kerajaan Umno pimpinan Datuk Seri Najib terhadap rakyat bumiputera negeri ini dilakukan dengan menafikan hak hasil bumi negeri sedangkan sanggup membayar 77 juta kepada syarikat perunding Apco worldwide.

"Apa salahnya 20 juta yang dituntut rakyat diberikan kepada kerajaan negeri untuk diuruskan bukan kepada pihak lain kerana kerajaan negeri telahpun diberikan amanah oleh rakyat," katanya.

Sehubungan itu mereka menuntut agar royalti lima peratus milik rakyat Kelantan dikembalikan kepada kerajaan negeri dan bukan menggantikannya dengan wang ehsan seperti yang dilakukan kerajaan pada waktu ini.

Kelantan sebelum ini mengemukakan tuntutan terhadap pusat agar dibayar royalti petroleum ekoran penemuan telaga minyak di perairan negeri.

Sementara itu, setiausaha perhubungan PAS negeri, Mohd Zaki Ibrahim juga ketika berucap, turut mengutuk tindakan kerajaan Umno itu.



Anwar, Kit Siang sertai muktamar PAS


Harakahdaily
KOTA BHARU, 11 Jun: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang menjadi antara tetamu penting dalam muktamar PAS ke 56 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) dekat sini.

Kedua-duanya berjalan masuk bersama para pemimpin utama PAS yang diketuai Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta lain-lain pimpinan utama.

Turut sertai muktamar kali ini adalah para pemimpin kanan gerakan Islam seluruh dunia termasuklah dari Hamas yang sedang berdepan dengan tentera Zionis Israel sekarang.

Sebelum masuk ke dewan, Abdul Hadi telah memeriksa pembarisan Unit Amal dengan diiringi pasukan gendang Rebana Ubi Kelantan.

Dewan Muktamar Putik penuh sesak dengan perwakilan dan pemerhati serta tetamu dari luar negara. Tahun ini, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menghantar wakilnya buat pertama kalinya menyertai muktamar kali ini.

Sembilan wakil Hamas yang di ketuai Dr Munir Syed Garada turut menyertai muktamar ini walau masih lagi bertembung dengan tentera Zionis Israel.

Turut menjadi sebutan Pengerusi Tetap, Haji Abu Kassim Abdullah adalah sebahagian dari wakil NGO Malaysia yang berada di atas kapal Mavi Marmara yang diserang tentera Israel ketika mereka menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Majlis menjadi meriah dengan lagu nasyid Kelantan yang dinyanyikan sebaik sahaja pemimpin duduk selepas berdiri menghormati lagu Negaraku dan lagu PAS.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika memberikan ucapan berkata, ini adalah kali ke - 5 Muktamar PAS diadakan di Putik. Sebelum ini muktamar pernah diadakan di Markas PAS Kedah di Kota Sarang Semut, pada tahun 2008 di Stadium Indramulia, Ipoh manakala tahun lepas di Stadium Malawati Shah Alam.

"Langkah ini diambil supaya ahli dan penyokong kita dapat bersama pemimpin dalam majlis sebegini," kata Mustafa.

Muktamar kali ini juga menjadi sejarah kerana buat pertama kalinya disertai oleh DHPP yang baru sahaja dibentuk pada tahun ini.

Mustafa dalam ucapannya juga meminta semua ahli PAS bersedia menghadapi pilihan raya umum ke 13 yang bakal diadakan tahun 2011 iaitu tahun depan secepatnya atau selewatnya tahun 2012 kerana BN takut dengan angka 13 dan ia tidak akan diadakan pada tahun 2013.

Wednesday, June 9, 2010

Judi bukan budaya masyarakat Cina dan India
http://kentong-suhaizan.blogspot.com/


Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) merasa sangat berbangga dengan sokongan secara terbuka Dr. Toh Kin Woon, Presiden Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG) terhadap kempen pemansuhan judi sukan yang telah dilaksanakan oleh GMJ.

Malah beliau sendiri mengajak semua masyarakat menyertai himpunan 100 Ribu Memansuh Judi Sukan di Kuala Lumpur pada 3hb Julai 2010.

Kenyataan beliau boleh diperolehi dalam laman web pusat berkenaan di url http://llgcultural.com/bm/index.php?option=com_content&view=article&id=61:llg-membantah-kerajaan-meluluskan-lesen-judi-bola-sepak&catid=34:kenyataan-media-2010&Itemid=55.

Orang Islam di Malaysia mungkin telah diberi gambaran yang salah oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang menyatakan bahawa judi merupakan budaya orang cina dan india.

Dr. Toh Kin Woon yang juga bekas exco kerajaan Negeri Pulau Pinang zaman Barisan Nasional memerintah, mempertegaskan bahawa judi bukanlah budaya orang cina malah persepsi salah ini boleh merosakan hubungan antara muslim dan bukan muslim dinegara ini.

Beliau mempertegaskan bahawa kerajaan tidak patut memperkudakan bukan muslim sebagai alasan meluluskan lesen judi bola sepak. Beberapa pertubuhan orang Cina katanya telah menyuarakan ketidaksetujuaan terhadap pemberian lesen tersebut.

Dr. Toh Kin Woon juga menyatakan bahawa asas pemberian lesen judi bola sepak, tidak dapat membendung perjudian haram bola sepak, kegagalan membendung perjudian haram adalah berpunca daripada kelonggoran penguatkuasaan dan rasuah.

Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG yang telah didaftarkan pada tahun 1995 merupakan pertubuhan yang ke 55 menyatakan sokongan terhadap Kempen Mansuh Judi Sukan anjuran GMJ. Sebelum ini Ikatan Perpaduan Rakyat Malaysia pimpinan Sdr. Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil telah menyatakan sokongan terhadap kempen terbabit.

GMJ terus membuka peluang kerjasama semua NGOs dan parti politik dalam Kempen Memansuhkan Judi Sukan. Segala maklumat GMJ boleh layari menerusi http://bantahjudi.wordpress.com

Suhaizan Bin Kaiat,
Setiausaha,Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ).

Rakyat jimat kabinet boros
Roslan SMS

Mari tarik balik subsidi yang dinikmati rakyat Malaysia. Kita terpaksa biarkan harga barangan seperti gula, petrol dan lain-lain naik. Begitu juga perkhidmatan seperti perubatan kerajaan.

Ini semua kerana jika tidak negara sebagaimana kata Pak Menteri BN akan bankrap.Siapa mahu melihat negara tercinta ini muflis.Seorang lagi Pak Menteri berkata melalui penjimatan ini nanti wang yang sepatutnya dibelanjakan untuk menampung subsidi boleh digunakan untuk projek-projek yang diperlukan rakyat.

Tiba-tiba hari ini kita diberitahu:(Laporan Mstar) KUALA LUMPUR: Kabinet telah mempertimbangkan untuk membina bangunan Parlimen yang baru bernilai RM800 juta di Putrajaya, manakala bangunan sedia ada di Kuala Lumpur akan dijadikan sebagai bangunan warisan.

Perkara itu diputuskan oleh Kabinet, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him mengenai kos dan tempoh memulihara dan menaik taraf bangunan Parlimen sedia ada.

Bijaknya kabinet Malaysia, dalampada rakyat diminta berkorban, senang-senang RM800 juta mahu dibelanjakan! Malaysia Boleh!

Respon kepada maklum balas Jais
http://www.khalidsamad.com/

Pada mulanya saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak JAIS kerana kerana di dalam kesibukan mereka memikul beban amanah ummat Islam negeri Selangor, telah berkesempatan untuk mengambil masa terluang dan sudi menjawab pertanyaan saya.

Saya sempat membaca respon rasmi yang disediakan oleh pegawai perhubungan awam JAIS dan juga respon ringkas dari Dato’ Khusrin sendiri. Saya akan menjawabnya serentak kerana saya yakin bahawa pada hakikatnya kedua-duanya adalah pada dasarnya dari Pengarah JAIS sendiri.

Pada awalnya saya ingin menyentuh persoalan mengapa kononnya saya ‘menyerang JAIS’. Sebab utama adalah kerana saya melihat JAIS, dalam banyak perkara, mengambil kesempatan untuk menyerang Pakatan Rakyat.

Dalam isu kalimah Allah dan tazkirah TGNA di sebuah Masjid di Hulu Selangor sebagai contoh, Pengarah JAIS mengambil kesempatan untuk menyuarakan pendirian yang jelas bertujuan untuk menjejaskan imej PR di kaca mata ummat Islam di negeri Selangor.

Walaupun tidak menyebut PR atau mana-mana parti komponennya, ianya adalah jelas bahawa serangan berkenaan mempunyai motif politik.Dalam soal ini, Dato’ Khusrin menjadi sasaran kerana kenyataan-kenyataan tersebut adalah dari beliau.

Ada pihak yang menyebut bahawa beliau hanyalah seorang PTD yang menjalankan tugas sebagai seorang pegawai kerajaan. Saya yakin seorang pegawai yang profesional, yang menjalankan tugasnya tanpa mempunyai agenda politik, tidak akan bertindak sedemikian rupa dalam kedua-dua isu berkenaan.

Sebagai contoh juga, seorang pegawai PTD yang benar-benar ‘neutral’ atau tidak berpihak, akan menjelaskan bahawa di negeri Selangor terdapat Enakmen Bukan Islam yang tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam berhubung agama mereka demi mengelakkan kekeliruan. Inilah sebenarnya kedudukan Enakmen tersebut.

Ianya bukan pengharaman mutlak untuk semua keadaan tetapi pengharaman yang dikhususkan untuk penggunaan tertentu. Kenyataan tersebut akan dikeluarkan oleh seorang pegawai yang profesional, secara rasmi tanpa berperanan mengapi-apikan emosi rakyat yang beragama Islam 'yang mudah dikelirukan'.

Sebenarnya, tanggapan bahawa ummat Islam mudah dikelirukan adalah tanggapan JAIS sendiri dan inilah asas kepada perlaksanaan Enakmen berkenaan.Sebaliknya, JAIS turut terlibat dalam program mengapi-apikan kemarahan ummat Islam dengan keterlibatan secara tidak rasmi dalam demonstrasi dan pemasangan kain rentang “Kalimah Allah hanya untuk orang Islam” di masjid-masjid.

Ini juga jelas boleh dilihat dan dinilai oleh mana-mana pihak sebagai tindakan politik dan tidak profesional serta mendedahkan pendirian politik Pengarah JAIS itu sendiri.Kedua, dalam soal tazkirah yang diberikan TGNA. Seorang pegawai yang professional juga akan pada mulanya meminta laporan dari pihak yang membuat aduan berhubung isi kandungan tazkirah yang disampaikan.

Adakah benar TGNA bercakap berhubung politik kepartian dan berkempen dalam Masjid, mencela UMNO dan meminta jemaah mengundi PR? Siasatan akan dibuat sebelum mengeluarkan kenyataan yang bertujuan menempelak PR dalam suasan Pilihanraya Kecil yang sudah pasti mempunyai kesan politiknya. Pada hakikatnya TGNA adalah seorang Ulama’ dan kedudukan beliau sebagai seorang Ulama’ tidak terbatal dengan keterlibatan beliau dalam arena politik.

Maka, sekiranya tazkirahnya berbentuk keagamaan maka sudah pasti tiada kecelaan pada tindakan beliau. Ini lebih-lebih lagi apabila diketahui umum bahawa TGNA pada awalnya hanya datang untuk menunaikan solat fardhu di Masjid berkenaan dan diminta memberi tazkirah oleh jemaah yang hadir.

Tidak wajar seorang Ulama’ menolak pelawaan untuk mengajar dan berkongsi ilmunya apabila dipohon sedemikian.Namun, sekali lagi Dato’ Khusrin mengambil kesempatan untuk menempelak tindakan pimpinan PR tanpa melakukan penyiasatan terlebih dahulu.

Ini adalah kerana ianya dilihat sebagai peluang keemasan untuk membuktikan kesetiaan beliau kepada pimpinan lama. Maka itulah sebabnya beliau diam berhubung sepanduk Solat Hajat dan Bacaan Yasiin untuk Kamalanathan di Masjid di Hulu Selangor.

Teguran secara terus dari beliau dalam soal ini akan memburukkan BN, maka seharusnya beliau diam.Dalam soal ‘Judi Bola’ respon JAIS adalah ianya isu Nasional maka tiada kena-mengena dengan mereka. Ini merupakan hujjah kosong. Semua rakyat Malaysia tahu bahawa polisi Nasional akan mempunyai kesan terhadap semua Negeri.

Tidak mungkin seorang Pengarah yang telah lama berkhidmat dalam perkhidmatan awam tidak faham atas implikasi kelulusan ini? Namun, oleh kerana ianya polisi yang datangnya dari BN, maka Dato’ Khusrin seperti kebiasaanya membisu seribu bahasa. Jika ingin dilihat dari sudut ‘keterlibatan’ JAIS dalam sesuatu isu, isu kalimah Allah yang dibicarakan di WP.

Mengapa JAIS terlibat?Begitu jugalah dalam isu Life line for Gaza atau LL4G yang merupakan isu International. Walaubagaimanapun saya mengucapkan tahniah kepada JAIS, kerana program tersebut diadakan. Jika mahu mengunakan hujjah ‘bidang kuasa’, maka apa halnya JAIS mahu terlibat sama? Tetapi oleh kerana ianya relevan untuk setiap Muslim, termasuk Muslimin di Selangor, maka JAIS wajib terlibat.

Maka begitu jugalah dengan JUDI.Hujjah bahawa Kerajaan Negeri dan PBT juga ada peranan, itu kita semua tahu. PBT dan Kerajaan Negeri pun tahu dan mereka akan bertindak. Bagi mereka tindakan mereka, bagi JAIS, tindakannya dengan mengikut kapasiti masing-masing. Hanya saya tumpu pada JAIS kerana JAIS begitu lantang dalam isu TGNA, kalimah Allah dan usaha memenjarakan Dr. Asri tetapi kelu membisu dalam isu judi.

Saya juga sudah lama ingin bertanya kepada Dato’ Khusrin, nampak dari gaya usaha yang begitu hendak ‘mengenakan Dr. Asri’, adakah perkara tersebut lebih dipentingkan oleh pihak beliau dari sebarang usaha membantah Judi Bola? Betulkah Awlawiyyatnya Dato’? Apa pandangan masyarakat bukan Islam dan ‘ummat Islam yang mudah dikelirukan’ (sepertimana perkiraan JAIS) dengan tindakan Dato’ ini? Dr. Asri merupakan seorang bekas Mufti Negeri Perlis dan juga seorang Pensyarah Universiti di dalam Fakulti Islam hingga ke hari ini.

Sebagai seorang pegawai berkelulusan bukan agama, yang ilmu agama sudah pasti jauh terhad berbanding Dr. Asri, tetapi Dato’ begitu tekad hendak memenjarakan beliau dan pada masa yang sama diam membisu berhubung isu Judi Bola! Bertambah kelirulah ummat Islam dan juga yang bukan Islam.Inilah yang saya nyatakan berkali-kali. Biarlah Pengarah JAIS seorang yang kelulusan agama. Paling kurang orang tersebut akan tahu menghormati Ulama’.

Walaupun ada perbezaan pendapat dan pendirian, dia akan menghayati dasar ‘adaabul ikhtilaaf’ dan akan tahu juga ‘awlawiyyat’. Ini sudahlah kurang dari segi ilmu agama, berkepentingan politik pula!Pegawai Perhubungan JAIS (atas arahan Pengarahnya saya pasti) bertanya pula, “bagaimana dengan Judi yang lain? Kenapa Khalid Samad mengecam Judi Bola sahaja”? Hmmm, pelik bercampur ajaib.

Adakah mereka tidak sedar bahawa soalan sebegini bagaikan meludah ke langit dan jatuh ke batang hidung sendiri? Ingin tanya saya pula berhubung judi lain yang wujud di dalam masyarakat? Sedangkan beliau sendiri yang merupakan Pengarah JAIS jauh lebih lama dari saya yang baru menjadi Ahli Parlimen penggal ini.

Saya tidak pasti bagaimana mahu menjawab pertanyaan berkenaan, tetapi mungkin ianya wujud kerana Dato’ tidak membantahnya dari dululah kot? Dan pada masa yang sama tidak pula mendidik ummat Islam Negeri Selangor supaya menghayati Islam dengan mementingkan adanya kuliyah di setiap Surau dan Masjid dengan memberikan tauliah kepada semua yang layak tanpa mengambil kira mereka PAS atau UMNO.

Sehinggakan orang macam TGNA beri tazkirah pun mahu dibantah, bagaimana usaha kesedaran Islam akan berjaya? Sehinggakan seorang bekas Mufti dilayani bagaikan penjenayah, macam mana bumi Selangor ingin mendapat berkat sepenuhnya?Sememangnya semua jenis judi adalah haram, tetapi dengan adanya beberapa jenis tidak merupakan alasan untuk memperkenalkan jenis yang lain.

Yang telah lama wujud dan menjadi kebiasaan di dalam masyarakat perlu ditangani secara hikmah dan bijaksana, seperti apa yang disebut oleh Ulama di dalam tulisan berhubung Fiqhud Dakwah, iaitu proses ‘tadarruj’ atau berperingkat-peringkat. Perumpamaannya adalah seorang Doktor yang merawat pesakitnya; penyakit yang sedia ada dirawati, tetapi penyakit yang baru jangan sekali-kali dibenarkan berjangkit.

Kalau disebut dia dah sakit, maka biarlah sahaja berjangkit penyakit lain, itu kata-kata Doktor gila. Saya kira, ini merupakan perkara asas yang sepatutnya tidak perlu saya terangkan kepada seorang Pengarah Jabatan Agama Islam.Hujjah “kenapa tidak ditegur judi lain” memang dilaungkan oleh UMNO dan yang sekapal dengannya.

Mereka ingin mengatakan bahawa kononnya PR hanya ingin mengambil kesempatan dari keputusan pimpinan mereka supaya rakyat marah dengan UMNO/BN. Itulah sebabnya hanya Judi Bola sahaja yang dibantah kata mereka.

Dalam erti kata lainnya, jangan dengar bantahan yang dibuat oleh PR, terus sokong sahaja Judi Bola!Dalam kitab ‘Fiqh Al-Awlawiyyat’, Dr. Yusuf Qardawi menceritakan kisah Umar Abdul Aziz yang mengambil alih jawatan Khalifah Bani Umayyah.

Mereka yang sebelum beliau telah membenarkan banyak kerosakan dan penyelewengan berlaku dalam pemerintahan Bani Umayyah. Maka apabila Umar Abdul Aziz mengambil alih, beliau ingin membawa perubahan ke arah kebaikan.

Suatu hari anaknya menegurnya kerana dilihat proses perubahan yang dilakukan ayahnya terlalu perlahan. Umar Abdul Aziz menjawab,“Jangan gelojoh wahai anakku. Sesungguhnya di dalam (penurunan ayat) Al-Quran, Allah mencela (meminum) arak dua kali sebelum ianya diharamkan pada kali ketiga. Saya khuatir, sekiranya saya meletakkan kebenaran seluruhnya serentak ke atas manusia, manusia akan menolak keseluruhannya.

Dan itu akan merupakan fitnah yang lebih besar.”Dalam kisah ini terdapat pengajaran yang penting bagi yang mengambil-alih kuasa dan ingin membawa perubahan.Lagipun, judi ini kononnya dibenarkan untuk orang bukan Islam.

Sekarang orang bukan Islam sendiri membantah ianya diluluskan (tidak termasuk Vincent Tan lah), tidak mungkin Dato’ Khusrin hendak berdiam diri sahaja? Orang bukan Islam pun sudah membantah, mana mungkin sekadar menjawab, “Kalau orang Islam yang terlibat, JAIS akan tangkap”! Gandingan yang cantik.

Kerajaan BN mengeluarkan lesen judi, JAIS yang ala-BN tangkap pejudi Islam! Mendidik ummat Islam bukan dengan tangkap sahaja wahai Tuan Pengarah. Yang lebih penting, menerangkan, menjelaskan, mengajar, menyeru dan memberi contoh yang baik.

Saya rasa, peristiwa ini hanya menambahkan keyakinan saya dan kebanyakkan ummat Islam di negeri Selangor bahawa insyaAllah Pengarah JAIS yang baru, yang lebih berilmu dan tidak berkepentingan politik adalah amat sangat diperlukan dengan kadar segera.

YB Khalid Samad,
Ahli Parlimen Shah Alam.


JK Hak: Wakil APCO, Nazri dipanggil beri keterangan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Jun: Wakil syarikat APCO Worldwide dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dipanggil Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kira-kira jam 11.20 pagi ini untuk memberi keterangan berhubung kes Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dirujuk kepada jawatankuasa itu.

Anwar yang ditemani peguam S Ambiga dan Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah turut untuk mengikuti keterangan yang diberikan oleh kedua-dua saksi itu walaupun tidak dijemput oleh jawatankuasa itu.

Bagaimanapun Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh tidak dibenarkan masuk oleh JK Hak dan Kebebasan Parlimen untuk mengikuti keterangan yang disampaikan mereka.

Dalam sidang media sebentar tadi, beliau telah membuat permohonan untuk turut serta mendengar keterangan itu.

Justeru, beliau mempersoalkan tindakan jawatankuasa berkenaan yang tidak membenarkannya dan peguma untuk berbuat demikian.

Anwar juga mempersoalkan jawatankuasa itu yang mengubah keputusan semalam yang membenarkannya membawa peguam semasa dipanggil memberi keterangan tetapi hari ini tidak memberi kebenaran pula.

"Keputusan diubah, sewaktu sidang mereka putuskan saya boleh bawa peguam, selepas sidang, peguam tidak dibenarkan. Keputusan boleh bawa peguam, memang diputuskan semalam, memang boleh.

"Yang tidak diputuskan semalam sama ada peguam boleh soal balas atau tidak," ujarnya.
Menurutnya, beliau memohon berulang kali kepada jawatankuasa itu supaya peguam perlu hadir bersama untuk mendengar keterangan wakil APCO dan Nazri.

"Saya adalah yang dituduh, saya pohon berulang kali kepada jawatankuasa, bagi peluang untuk kami menjelaskan mengapa kehadiran peguam itu perlu dan mengapa perlu saya dan peguam hadir untuk mendengar keterangan Nazri dan APCO," ujarnya lagi.

Judi bola: LLG bantah lesen, ajak sertai himpunan
Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 9 Jun: Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG menyeru pertubuhan masyarakat madani meneruskan protes terhadap kerajaan yang meluluskan lesen judi bola sepak Piala Dunia 2010.
Presidennya, Dr Toh Kin Woon juga menyeru masyarakat menghadiri perhimpunan besar yang dianjurkan oleh Gabungan Rakyat Membantah Judi (GMJ) pada 3 Julai bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
“Rakyat mesti mengambil bahagian dalam isu-isu masyarakat, menerajui agenda rakyat, inilah maksud demokrasi,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Kerajaan juga, katanya harus mengurangkan bilangan pembukaan Toto Magnum, menggalakkan rakyat rajin bekerja untuk menjana pendapatan, bukan berfikir secara opportunis dan giat membeli nombor ramalan ekor.
Tambahnya, tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak bukan sahaja menggalakkan gejala judi, mengaitkan aktiviti sukan dengan judi dan mencemarkan fikiran belia-belia juga tidak dapat membendung perjudian haram secara berkesan.
Menurutnya lagi, asas pemberian lesen judi bola sepak tidak dapat membendung perjudian haram dan usaha meningkatkan pendapatan kerajaan tidak meyakinkan.
Baginya, negara tidak perlu meningkatkan hasil cukai dengan pendekatan mencemarkan fikiran belia dan membahayakan masyarakat melalui kelulusan lesen judi itu.
Hakikatnya, kata beliau pendapatan negara disalahgunakan dengan perbelanjaan boros termasuk skandal khazanah negara yang disalurkan kepada parti politik yang sering kali berlaku.
Ujarnya, pemimpin kerajaan yang meluluskan lesen judi bola sepak dengan alasan “mesti adil terhadap komuniti bukan muslim” membayangkan orang Cina dan India gemar berjudi.
“Kenyataan ini amat tidak bertanggungjawab dan cuba merosakkan hubungan baik antara bukan muslim dan muslim. Judi bukan kebudayaan sesuatu kumpulan etnik.
“Sebahagian orang Cina atau India gemar judi tidak bermakna ia budaya seluruh kumpulan etnik, kerajaan tidak patut memperkudakan bukan muslim sebagai alasan meluluskan lesen judi bola sepak,” ujarnya lagi.
Bahkan, katanya beberapa pertubuhan orang Cina telah menyuarakan rasa tidak bersetuju terhadap pemberian lesen tersebut kerana judi bola sepak merosakkan nilai-nilai moral dan akhlak warga negara tanpa mengira kaum.