Custom Search
"DEMI MASA MANUSIA SENTIASA DALAM KERUGIAN"

Thursday, October 14, 2010

200 sertai bantahan konsert Adam Lambert
Rusli Yasmin

KUALA LUMPUR, 14 Okt: Lebih 200 anggota Pemuda PAS dan mahasiswa menyertai ekspedisi dakwah membantah konsert penyanyi homoseksual Amerika, Adam Lambert di Stadium Putra, Bukit Jalil malam ini.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan mengetuai solat hajat selepas solat Maghrib.

Beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada para peserta yang menyertai ekspedisi tersebut sebelum bergerak ke stadium kira-kira jam 7.30 malam.

Solat hajat, bantah konsert malam ini
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 14 Okt: Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Pusat, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan bergabung tenaga membantah konsert artis gay, Adam Lambert di Stadium Putra Bukit Jalil, malam ini.

Bantahan itu akan diisi dengan solat hajat beramai-ramai serta edaran risalah kepada pengunjung konsert yang dijangkakan dipenuhi oleh anak muda.

Menurut pegawai media DPPP, Fadhil Otman, pihaknya akan berkumpul di perkarangan stadium kira-kira 6.30 petang untuk mengedarkan risalah kepada orang ramai dan diikuti dengan solat Maghrib dan solat hajat sebelum meneruskan edaran risalah.

Pengerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah DMPP, Aiman Athirah Al-Jundi pula berkata, Skuad Kita Bersaudara di bawah lajnahnya sedang berusaha mengerahkan ahli untu turun bersama-sama DPPP membantah konsert artis yang merupakan ikon 'gay' di Amerika itu.

Sementara itu, Gamis dan SMM akan mengerahkan kira-kira 500 siswa di sekitar Lembah Klang untuk hadir membantah konsert tersebut.

Setiausaha SMM, Mohd Ridzuan Othman berkata, bantahan malam ini akan diketuai oleh pengerusi majlis politik nasional Gamis, Ahmad Shukri Razak.

"Kami akan menyertai majlis solat hajat bersama Pemuda PAS," kata beliau kepada Harakahdaily.

Mohd Ridzuan berkata, risalah juga akan diedarkan kepada orang ramai yang datang ke konsert tersebut.

"Kira-kira 2,000 risalah membantah konsert itu telah dicetak untuk diedarkan malam ini," tambahnya.

Peserta perhimpunan itu juga akan membawa beberapa kain rentang membantah penganjuran konsert Adam Lambert.

Usaha itu ekoran bantahan awal kepada Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) terhadap kelulusan konsert tersebut tidak diendahkan.

Syarikat ‘mati’ kontraktor utama bina Istana Negara
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 14 Okt: Datuk Seri Najib Razak diminta menjelaskan skandal pembinaan Istana Negara yang baru apabila projek bernilai RM950 juta itu diserahkan kepada Syarikat Maya Maju (M) Sdn Bhd.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syarikat misteri itu dilantik sebagai kontraktor utama pada 26 Oktober tiga tahun lalu.

Walhal, katanya Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SMM) mengesahkan syarikat misteri itu telah mati atau tidak aktif ketika proses penyerahan tender dibuat oleh kerajaan Pusat.

"Syarikat kontraktor utama itu didaftarkan semula (di SSM) pada Ogos 2008 sedangkan kontraktor diserahkan kepada syarikat itu pada Oktober 2007.

"Mengapa status kontrak sedemikian, apakah cara begini yang Umno ambil," ujar Ahli Parlimen Permatang Pauh itu petang tadi di lobi Parlimen.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR turut mendesak Najib menjelaskan sebab mengapa tarikh siap projek mega tersebut ditangguhkan sehingga Februari tahun depan.

Sedangkan katanya, tarikh siap yang dipersetujui antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor utama adalah pada 29 November tahun ini.

Pentadbiran Najib turut dipersoal kerana kos pembinaan asalnya hanya RM395 juta sahaja.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa amalan kronisme berlaku dalam proses pemberian projek yang membabitkan Kementerian Kewangan yang juga di bawah Najib.

Katanya, syarikat misteri tersebut dikuasai oleh bekas Bendahari Umno Bahagian Merbok.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua serta Ahli Parlimen Indera Mahkota, Mohd Azan Ismail turut menyertai sidang media tersebut.

<>

Rasis: Subjek Kenegaraan tidak memadai
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 14 Okt: Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) mencadangkan pengajian tentang perlembagaan dijadikan subjek substantif dan khusus di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Cadangan itu, katanya demi memastikan generasi muda tidak terpengaruh oleh politik sempit angkara parti-parti rasis tertentu di tanah air.

"Saya kira ini salah satu penyelesaian bagi mengelakkan pihak-pihak tertentu yang mengamalkan politik sempit menggunakan perlembagaan untuk kepentingan parti-parti atau pertubuhan rasis mareka," ujarnya pagi semasa mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, Subjek Perlembagaan dan Kenegaraan (SPK) yang sedia ada di peringkan sekolah menengah adalah tidak memadai.

Ini kerana katanya, subjek tersebut sekadar subjek sampingan yang dimasukkan secara tidak langsung dalam beberapa mata pelajaran yang lain.

Tambahnya lagi, cadangan ini wajar dijadikan pemangkin pada kewujudan Mahkamah Perlembagaan kelak agar pemimpin-pemimpin rasis terbabit tidak sewenang-wenangnya boleh mengelirukan rakyat dengan memanipulasi isu hak keistimewaan Melayu, Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan itu secara umum seakan diterima Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Ahmad Fuad Zarkashi.

Menurut beliau, pendidikan berkaitan perlembagaan sahaja tidak memadai sekiranya parti-parti politik tertentu masih mengamalkan politik sempit di luar sekolah.

Sebelum itu, Mujahid yang juga AJK PAS Pusat pada sesi soal jawab lisan meminta Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan tentang usaha kerajaan memperkenalkan subjek keperlembagaan di peringkat menengah.

Menjawab soalan itu, Mohd Puad menegaskan bahawa subjek berkaitan Perlembagaan telahpun merentasi subjek-subjek utama lain secara tidak langsung.

Namun, beliau yang Ahli Majlis Tertinggi Umno tidak pula menyatakan kesediaan kerajaan Pusat memperkenalkan subjek keperlembagaan secara khusus demi menghapuskan politik rasis khususnya di sekolah.

<>

Dakwa pegawai Imigresen di mahkamah, bukan ISA
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 14 Okt: Tindakan kerajaan yang menahan pegawai Jabatan Imigresen di bawah akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) langsung tidak boleh diterima.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, mana mungkin mencegah kejahatan dengan melakukan kezaliman terhadap manusia lain.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas tindakan kerajaan yang telah menahan tujuh kakitangan Jabatan Imigresen dan dua warga asing di bawah ISA kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan warga asing ke negara ini.

Katanya, ISA sejak dahulu diiktiraf rakyat sebagai akta drakonian yang zalim dan kejam yang berkuasa sewenangnya menangkap sesiapa sahaja tanpa bicara selama mana yang disukai oleh Menteri Dalam Negeri.

Beliau menambah, sepatutnya kerajaan bertindak wajar dengan menangkap dan mendakwa mereka di mahkamah.

“Bukankah negara kita mempunyai Akta Anti Penyeludupan Manusia 2007 (Akta) 670 yang telah dikuatkuasakan pada 28 Februari 2009,” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, berdasarkan kes yang sama sebelum ini pada 20 Julai 2009, lima pegawai kanan Jabatan Imigresen Johor dan empat perantara telah ditahan di beberapa tempat di Johor dan mereka telah disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda.

“Mengapa dalam kes kali ini, kerajaan memilih Akta ISA? Apakah kerajaan boleh bertindak sesuka hati tanpa mengikut undang-udang yang mereka cipta sendiri? Ataupun mungkinkah kerajaan bertindak sebegini kerana melindungi sesuatu pihak yang lain sehinggakan tidak mahu mendakwa pihak yang ditahan di mahkamah?” soalnya lagi.

Soalnya, mengapa pembunuh Datuk Sosilawati dan beberapa pembantunya yang dibunuh secara kejam yang dianggap pembunuhan paling dahsyat di negara ini didakwa di mahkamah tetapi pegawai-pegawai Imigresen berkenaan disumbat dalam ISA.

“Bagaimanakah keadilan dapat ditegakkan dengan cara sebegini?” tanya beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional dan Hubungan NGO DPPP.

Demi mengharapkan keadilan, ujarnya kerajaan wajar melepaskan mereka dari ISA dan dakwa mereka di mahkamah secara terbuka.

Tambahnya lagi, undang-undang dicipta untuk dipatuhi bukan untuk sekadar bahan pameran sahaja.

Justeru, beliau berkata, ISA sepatutnya sudah lama dikuburkan dan dijadikan bahan sejarah.

Tangguh GST: PAS sifatkan kejayaan rakyat
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Okt: PAS mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia yang menentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sehingga kerajaan menangguhkan perancangan tersebut.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Kementerian Kewangan semalam bahawa langkah berkenaan diambil bagi membolehkan kerajaan mengambil kira kepentingan dan kebajikan rakyat untuk memastikan penguatkuasaan GST kelak akan diterima dengan baik oleh semua pihak.

“Inilah hikmahnya apabila kuasa rakyat semakin terserlah dan bilangan ahli parlimen Pakatan Rakyat yang ramai, menyebabkan mereka (kerajaan) merasa gerun perkara ini akan ditentang di dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, kerajaan juga memahami isu penderitaan rakyat jika tidak ditangani dengan sempurna akan membawa padah kepada BN dalam pilihan raya akan datang.

PAS, katanya mengharapkan kerajaan janganlah mencari jalan pintas untuk mendapatkan wang dengan mengenakan GST semata-mata, kerana ia melibatkan semua lapisan rakyat di negara ini, terutama kepada mereka yang berpendapatan rendah.

Justeru, tambahnya kerajaan perlu membetulkan pengurusan kewangan negara dahulu supaya lebih telus dan memerangi rasuah.

“Kos yang tiris inilah sebenarnya yang menyebabkan kerajaan pada hari ini tercekik sehingga memikirkan perlunya GST dilaksanakan.

“Janganlah merasa malu untuk belajar daripada pemimpin negeri Pakatan Rakyat yang telah terbukti kewibawaannya dalam menguruskan ekonomi di negeri masing-masing,” ujarnya lagi.

Konsert Adam Lambert ‘letak cuka di luka’
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Okt: Ma’ruf Club Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada desakan beberapa pihak yang mengesyorkan konsert Adam Lambert yang dijadualkan malam ini, dibatalkan.

Presidennya, Muhammad Zaki Sukery (gambar) berkata, mengambil kira situasi sosial masyarakat di negara ini yang semakin meruncing, penganjuran konsert itu sewajarnya dipandang seolah-olah cuba ‘meletakkan cuka di luka’.

“Ia bukan setakat tidak menyelesaikan masalah semasa di negara kita, bahkan akan menyuburkan lagi penyakit sosial yang seakan subur lantaran tidak dipandang masalah utama kepada penyakit sosial yang melanda negara,” ujarnya yang juga Timbalan Presiden Gamis.

Tambahnya, penganjuran konsert penyanyi gay itu juga tidak selari dengan usaha negara dalam membasmi keruntuhan moral dan akhlak terutamanya para remaja.

“Memandangkan artis mempunyai pengikut tersendiri dan diratibkan sebagai ikon, Ma’ruf Club melahirkan rasa bimbang dengan pengaruh dan kesan yang akan ditinggalkan oleh Adam Lambert kepada masyarakat selepas ini mengambil kira kontoversi yang melitupi penyanyi tersebut,” ujarnya.

Berpendirian bahawa muzik dan pemuzik adalah diharuskan di dalam agama, Ma’ruf Club juga, katanya menuntut supaya satu garis panduan dibuat sebelum menjemput seseorang artis dari luar untuk membuat persembahan dengan mengambil kira rumpun yang disepakati bersama sebagaimana peruntukan Perlembagaan, iaitu antaranya, hendaklah persoalan nilai hidup dan sensitiviti orang Melayu Islam dijadikan kayu ukur sebelum menjemput mana-mana artis.