Custom Search
"DEMI MASA MANUSIA SENTIASA DALAM KERUGIAN"

Friday, August 27, 2010

Merdeka: Rakyat perlu azam kerajaan baru
Mohd Ali Hashim

JERAI, 28 Ogos: Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan negara 31 Ogos ini, rakyat disarankan supaya menanam semangat baru dan keazaman dalam jiwa untuk memastikan negara mempunyai kerajaan baru pada pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) ketika mengulas ulang
tahun Hari Kemerdekaan negara ke-53, Selasa ini.

Menurut beliau lagi, rakyat harus menyedari tempoh had pemerintahan dan kuasa yang ada pada Barisan Nasional (BN) sudah sampai ke penghujungnya.

Kata beliau lagi, dengan adanya pemerintahan baru ini, maka kebimbangan rakyat dalam pelbagai masalah yang sekian lama menjadi persoalan akan berakhir.

"BN tidak mampu untuk mengurus hal ekonomi rakyat dengan baik. Isu saman ekor belum selesai, datang pula isu air dan tanah.

"Pakatan Rakyat (PR) cadangkan pendapatan setiap rakyat adalah RM4 ribu, menghapuskan cukai dan membanteras penyelewengan yang berterusan di bawah pemerintahan BN," katanya.

Tambahnya lagi, walaupun saranan itu hanyalah sebagai cadangan tetapi ia menampakkan idea yang membina dari kepimpinan PR jika dibandingkan dengan BN.

Beliau juga berkata oleh kerana itu, rakyat tidak lagi harus berdiam diri atas cadangan yang telah dibuat oleh PR baru-baru ini.

"Sebagai bukti Kerajaan Negeri Kedah telah pun menurunkan harga cukai tanah di Kedah. Syarikat Air Darul Aman (SADA) dikorporatkan dan bukan diswastakan. Rakyat mendapat bekalan air bersih tanpa bebanan harga yang mahal.

"Dalam situasi ekonomi rakyat yang tidak menentu ini pelbagai sekatan dikenakan oleh Kerajaan Pusat. Slogan mereka rakyat didahulukan hanya mendahulukan rakyat dalam bebanan bagi merealisasikan hasrat dan pencapaian kerajaan diutamakan," tambahnya lagi.

Rakyat bijak, tidak layan isu perkauman
Oleh Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com

Tidak syak lagi rakyat pelbagai kaum yang cintakan kehidupan damai telah menghantar isyarat paling jelas bahawa mereka tidak melayan isu perkauman yang ditiupkan oleh golongan tertentu sekarang ini.

Melalui media yang mereka kuasai siang malam meniupkan api perkauman itu dengan menimbulkan pelbagai isu karut marut, tidak munasabah, tidak diterima akal dan mengelirukan.

Tanda-tanda majoriti rakyat menolak tiupan perkauman ini ialah, umpamanya, para pengunjung Bazar Ramadhan di sana sini, khususnya di kawasan bandar dan semi bandar terdiri dari pelbagai kaum. Walaupun ini hanya contoh kecil, tetapi mempunyai erti yang significan bahawa mereka tidak terjebak kepada emosi perkauman yang ditiupkan oleh golongan tertentu dan media yang mereka kuasai.

Rakyat pelbagai kaum membeli pelbagai juadah dan minuman yang dijual oleh peniaga Islam dengan wajah ceria dan seronok.

Apa erti semuanya ini kalau bukan suatu isyarat bahawa rakyat tidak terpengaruh dengan isu-isu perkauman yang sengaja dibakar untuk kepentingan politik mereka. Hampir-hampir tidak ada perbahasan terbuka, atau cakap-cakap mengenai isu perkauman baik di masjid dan surau atau tempat berbuka puasa di mana saja. Rakyat menjalankan kehidupan seperti biasa.

Ini juga juga menunjukkan bahawa ibadah, khususnya ibadah Ramadhan, jauh lebih diutamakan daripada bercakap mengenai hal-hal yang bersifat prejudis, perkauman dan hal-hal yang boleh mengundang dosa.

Ini membuktikan bahawa rakyat yang semakin terdidik dan takut kepada dosa terutama di bukan Ramadhan menolak hal-hal seperti ini yang semakin menggila dicetuskan oleh golongan tertentu.

Di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Pulau Pinang, Ipoh dan bandar-bandar lain yang mempunyai masyarakat majmuk, tiupan api perkauman ini tidak mendapat sambutan sama sekali dari masyarakat pelbagai kaum.

Sementara masyarakat luar bandar juga, kita yakin, semakin matang dan tidak mempedulikan seruan dan tindakan perkauman seperti ini.

Walaupun ada kejadian kecil tunjuk perasaan, menghantar memorandum kepada pihak berkuasa dan sebagainya oleh segolongan yang amat kecil jumlahnya, namun itu hanyalah kes terpencil, sementara majoriti rakyat tidak menghiraukannya.

“Biarkan mereka sampai serak suara berteriak, sebesar manapun berita palsu dan provokasi perkauman yang mereka siarkan di dalam media, saya percaya rakyat semakin matang dan tidak mempedulikannya,” kata seorang pengunjung Bazar Ramadhan di Komtar, Pulau Pinang.

Beliau melihat rakyat pelbagai kaum membeli juadah di Bazar Ramadhan dengan wajah ceria, menggemari masakan Melayu yang \mereka anggap masakan kegemaran mereka.

Beberapa orang yang ditemui di Bazar Ramadan di Pucung, Ipoh dan Petaling Jaya juga gembira melihatkan suasana di Bazar Ramadhan begitu harmonis.

Kata seorang pengunjung kaum Cina di Bazar Ramadhan di Subang Jaya, “Kuih-kuih dan masakan Melayu yang pedas-pedas sangat saya suka. Saya banyak kawan Melayu.”

Bagi seorang pengunjung keturunan India di Pucong, setiap bulan puasa beliau sering mengunjungi Bazar Raradhan kerana banyak pilihan makanan.

Saya percaya, Bazar Ramadhan di luar bandar, khususnya di kawasan Felda, juga wujud suasana harmonis yang serupa tanpa menghiraukan isu-isu perkauman yang ditiupkan oleh golongan tertentu.

Seperti kata Bendahari PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli, kebanyakan rakyat tahu, bahawa ini semua tindakan . pihak Umno/BN supaya mereka dapat mengambil kesempatan iaitu selepas kerajaan BN semakin lemah. “

Kita yakin Umno/BN sekarang dalam keadaan tersepit dan cuba mengambil kesempatan untuk menarik kembali sokongan rakyat.
Menurut Dr. Hatta, tindakan paling selamat bagi rakyat sekarang ini adalah berlindung di bawah payung Pakatan Rakyat yang sentiasa menghormati hak semua kaum.

Ternyata, isu perkauman yang dibangkitkan oleh pihak berkepentingan ini tidak memberi kesan kepada perjalanan kehidupan rakyat keseluruhannya. Tentu saja semuanya ini menggagalkan niat golongan tertentu ini untuik mendapat keuntungan politik.

Sementara itu, dalam keadaan golongan tertentu berhempas pulas meniupkan api perkauman, pihak Pakatan Rakyat perlu mengambil langkan bijaksana dengan memperlihatkan perpaduan dalam Pakatan Rakyat itu sendiri dalam semua peringkat.

Dalam masa yang sama, pihak Pakatan Rakyat perlu mendekati semua golongan rakyat, khususunya rakyat di pedalaman, yang diketahui golongan inilah menjadi sasaran utama isu perkauman.

Pakatan Rakyat perlu mengambil tindakan menyeluruh untuk menolak propaganda musuh politik mereka. Penerangan Pakatan Rakyat mesti berada di tengah-tengah masyarakat, terutama masyarakat luar bandar, untuk menjelaskan keadaan sebenar dan bagaimana negeri di bawah Pakatan Rakyat sentiasa mengutamakan rakyat.

Seluruh gerak kerja Pakatan Rakyat mesti digembeling untuk memberi kefahaman sejelas-jelasnya kepada rakyat bahawa Pakatan Rakyat adalah parti masa depan mereka yang mengutamakan keadilan, keaksamaan dan pro-rakyat.

Bulan Ramadhan ini adalah kesempatan besar bagi semua pendukung Pakatan Rakyat mempererat hubungan dengan rakyat, prihatin dengan nasib mereka.

Ada tanda-tanda jelas bahawa semakin kuat isu perkauman dibangkitkan oleh golongan tertentu, rakyat semakin kuat menyokong Pakatan Rakyat baik di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Perak dan negeri-negeri lain.

Selepas gagal dengan isu perkauman ini, isu apa pula yang menjadi buah kempen mereka. Bagaimanapun satu hakikat yang perlu disedari oleh semua pihak, bahawa rakyat semakin terdidik dan tidak mudah diperbodohkan.