Custom Search
"DEMI MASA MANUSIA SENTIASA DALAM KERUGIAN"

Thursday, May 27, 2010

Kerajaan kini tiada duit, Najib gagal urus ekonomi
http://idrisahmad.wordpress.com

PAS melihat tindakan Kerajaan meluluskan lesen judi bola baru-baru ini sebagai satu langkah terdesak. Presiden Umno, Dato’ Seri Najib Tun Razak dilihat gagal menguruskan kewangan negara hingga menyebabkan kantung ekonomi negara kini jadi kelam kabut. Duit banyak dihabiskan untuk janji pilihan raya kecil.

Lesen Judi

Tahun lepas pendapatan cukai judi negara merosot kepada RM 1.199 bilion berbanding 2008 dimana Kerajaan mengutip RM 2.32 bilion. Najib sebagai Perdana Menteri mengunakan defisit ini sebagai salah satu faktor bagi memberikan kelulusan semula kepada Berjaya Group untuk menjual tikel judi bola sepak piala dunia tahun ini dengan harapan mereka boleh mendatangkan hasil cukai yang tinggi.

Pelbagai lapisan rakyat dan organisasi menentang keputusan ini tetapi Najib memekakkan telinganya. Ulama’-ulama’ dan Menteri Agama Umno juga diam berkematu. PAS membantah dasar ini dan mengajak rakyat bangkit menentangnya.

Mansuh Subsidi?

Seterusnya, desakan memansuhkan subsidi oleh pihak FOMCA juga dijangka diambil kesempatan oleh Kerajaan. Kerajaan kini mempertimbangkan untuk memansuhkan subsidi gula, elektrik dan minyak. Ini pasti akan memberikan kesan yang besar kepada rakyat dan industri makanan dan pengangkutan dalam negara kelak.

Jika benar subsidi ini dimansuhkan, harga barangan ini akan melonjak naik dan dikawal sepenuhnya melalui pasaran penawaran dan permintaan secara terbuka. Ini juga akan mendedahkan industri ini kepada manipulasi harga oleh pihak pembekal sumber dimasa akan datang. Oleh itu satu kaedah perlu diperhalusi sebelum kerajaan membuat apa-apa keputusan. Penstrukturan semula subsidi satu pilihan tetapi Kerajaan tidak boleh kedekut sangat dengan rakyat dan meletakan beban kenaikan harga barang 100% ke bahu rakyat.

GST bebankan rakyat

Najib sebagai Perdana Menteri juga dilihat begitu tekad untuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Hal ini tidak dibincang secara mendalam dalam parlimen dan belum ada sebarang kertas dibentangkan kepada ahli-ahli parlimen. GST hanya dibincang dalam kabinet dan kerajaan terdesak untuk mengaut keuntungan segera dari rakyat melalui cukai ini.

Jika GST diperkenalkan, kos hidup rakyat akan meningkat bagi semua lapisan dan mereka terdesak untuk menampung perbelanjaan rutin mereka. Kerajaan perlu jelaskan apakah GST ini dan senaraikan barang serta perkhidmatan yang bakal dikenakan GST. Kini rakyat risau kerana kadar pendapatan dalam negara masih lagi rendah, walaupun Kerajaan mahu mewujudkan dasar pendapatan tinggi buat rakyat namun dengan dasar GST ini, pendapatan tinggi itu tidak memberikan makna apa-apa.

Harga Minyak Naik?

Seterusnya, spekulasi mengenai kenaikan harga minyak sebanyak 15 sen lagi dilihat sebagai satu usaha Kerajaan untuk melihat reaksi rakyat pada masa ini. PAS yakin Kerajaan BN mahu melihat sentimen rakyat dalam isu ini. Mereka sengaja menyebarkan khabar ini seperti sebelum ini dan akhirnya menaikan secara mendadak. Mungkin bukan 15 sen, mungkin lebih lagi.

Apa yang pasti, tidak ada mana-mana rakyat yang setuju jika minyak dinaikkan pada masa sekarang sedangkan Kerajaan begitu mudah menghadiahkan Brunei dua telaga minyak bernilai RM 320 bilion. Jika Malaysia pertahankan blok L dan M ini, sekurang-kurangnya negara mampu memliki sebahagian hasil dan sumber minyak dari kedua-duanya.

Namun amat mengecewakan jika kesilapan kerajaan ini menyebabkan mereka menghukum rakyat dengan kenaikan 15 sen harga minyak. PAS berharap agar perkara ini tidak berlaku dan Kerajaan perlulah menyusun perbelanjaan pengurusan dan pembangunan negara secara berhemah.

Rakyat tidak lupa bagaimana Najib, Muhyidin dan menteri-menterinya berjoli dengan duit rakyat dengan pelbagai janji ditabur dalam semua siri pilihanraya kecil (PRK)sejak 2008 yang lalu. Hal ini menjadi punca kenapa kewangan negara jadi kelam kabut. Budget yang sepatutnya digunakan untuk perbelanjaan yang dirancang telah dibawa lari untuk projek-projek khas dalam PRK.

PAS mengingatkan Najib bahawa judi itu haram. menghapuskan subsidi itu satu penganiayaan, perkenalkan GST itu satu kezaliman dan menaikan harga minyak itu satu pengkhianatan kepada rakyat.

PAS menyeru agar semua jentera penerangan diperingkat negeri-negeri dan seluruh Pakatan Rakyat turun ke lapangan rakyat berceramah dan mengedarkan risalah maklumat mengenai hal ini. Kita tidak mahu Najib menjadi Maharaja tanpa singahsana yang dengan sesukahatinya membuat keputusan atas nama Perdana Menteri dan Kabinetnya tanpa merujuk Parlimen. Apa guna kita berpilihanraya sekali dalam 5 tahun jika wakil rakyat yang dipilih dan institusi parlimen tidak dihormati Najib.

Ustaz Idris Ahmad,
Ketua Penerangan PAS Pusat.


Tanah KTMB: PAS tuntut Najib bentang di Parlimen
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Mei: PAS menuntut satu penjelasan dan pembentangan khas berkaitan penyerahan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjung Pagar kepada Singapura dalam sidang parlimen akan datang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kita tidak mahu, suatu hari nanti anak cucu kita marah kerana tanah KTMB di Woodlands digadai hanya dengan sebiji durian,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar).

Beliau juga melahirkan rasa kesal kerana Najib yang juga Presiden Umno hanya mengambil masa beberapa jam untuk berbincang dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong untuk memutuskan penyerahan tanah milik KTMB di Tanjung Pagar kepada syarikat usaha sama Malaysia-Singapura, M-S Pte Ltd.

Katanya, dua hari selepas dijamu makan durian di Pulau Sentosa, Najib menggunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri tanpa merujuk kepada Parlimen dan kabinet.

Beliau berkata, Najib membuat keputusan menerima kerjasama Hsien Loong yang diajukan tanpa sebarang kertas cadangan dan kajian rasmi.

“Keputusan ini dicurigai rakyat yang menganggap Najib gadai tanah KTMB dengan sebiji buah durian sahaja,” ujarnya.

Menurutnya lagi, 271 hektar tanah milik KTMB di Tanjung Pagar, Kranji dan Woodlands serta tiga keping tanah di Bukit Timah kini diserahkan kepada sebuah syarikat yang belum lagi ditubuhkan.

Tambahnya, syarikat usaha sama Malaysia-Singapura yang dikenali sebagai M-S Pte Ltd, akan ditubuhkan sebelum 31 Disember tahun ini di mana Khazanah Nasional memegang 60% kepentingan dan Temasek Holdings Limited akan memegang baki 40%.

Ini, katanya bermakna dari jumlah 271 hektar tanah milik KTMB, 40% kini sudah sah menjadi milik Singapura melalui perkongsian pelaburan.

“Walaupun belum ada kepastian mengenai status pemilikan tanah, tetapi projek sistem transit laju (RTS) menghubungkan Tanjung Puteri, Johor dengan stesen di Woodlands yang dijadual beroperasi pada 2018 melalui projek usaha sama ini, kini dibahagi dua kepada Singapura,” katanya lagi.

Najib juga, kata Idris gagal memberikan penjelasan terperinci tentang cadangan memindahkan Stesen KTMB di Tanjong Pagar ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) milik Singapura menjelang 1 Julai 2011.

Malaysia juga dikatakan bakal memindahkan kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) kereta api di WTCP.

PAS, menurutnya menganggarkan bahawa kos operasi KTMB akan meningkat dan bayaran penyewaan WTCP milik Singapura akan membebankan pada masa akan datang.

Sewajarnya, kata beliau suatu tuntutan penjanjian pengecualian sewa atau kajian implikasi kewangan dibuat sebelum cadangan ini dilaksanakan.

“Kita tidak mahu, KTMB bakal menyertai senarai syarikat milik kerajaan yang rugi seperti Pos Malaysia Berhad dan Sime Darby Berhad. Kita tidak lupa, kedua-dua syarikat yang rugi ini juga menerima pelaburan dari Khazanah Nasional,” katanya lagi.


Kerajaan tidak patut sokong ‘pembekal kematian’
Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 27 Mei: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berpendapat kerajaan tidak sepatutnya menyokong ‘pembekal kematian’ berhubung penangguhan mengharamkan pek kecil rokok.

Sehubungan itu, CAP sangat terkejut dan kesal dengan pengumuman bahawa kerajaan akan menangguhkan pengharaman pek kecil rokok itu.

Presidennya, SM Mohamed Idris (gambar) berkata, melalui laporan media Edge Financial Daily hari ini, kabinet telah memutuskan untuk menangguhkan pengharaman tersebut sementara tidak ada tarikh baru diberikan.

Keputusan bagi mengharamkan pek 14 batang rokok itu diambil sebagai salah satu langkah untuk menurunkan kadar bilangan perokok terutama dalam kalangan remaja.

Katanya, kadar epidemik merokok di Malaysia tidak patut dipandang ringan kerana lebih daripada 50 lelaki lelaki dewasa di Malaysia adalah perokok sementara kira-kira 50 kanak-kanak negara ini di bawah umur 18 tahun mula merokok setiap hari.

Sementara itu, ujarnya terdapat kira-kira 10,000 penduduk Malaysia meninggal dunia setiap tahun akibat penyakit-penyakit yang dikaitkan dengan merokok, menjadikannya salah satu pembunuh utama di negara ini.

“Kami memandang berat perkara ini kerana selepas 10 tahun kerajaan menjalankan kempen anti-merokok, hanya terdapat penurunan sebanyak 2 peratus dalam jumlah perokok.

“Kami menganggap kerajaan bersikap serius apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata tahun lalu bahawa tidak ada lagi kelewatan dalam pengharaman terbabit dan pada Jun 2010, selepas tertangguh selama lima tahun, pek 14 batang rokok itu akan disingkirkan dari pasaran,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, nampaknya rakyatlah yang tersingkir, keuntungan yang diraih oleh segelintir pihak lebih penting daripada kesihatan penduduk amnya.

Menurutnya, Seksyen 16(1) Peraturan Kawalan Produk Tembakau 2000 jelas menyebut: “Pengeluar perlu membungkus rokok dalam bungkusan yang mengandungi tidak kurang daripada 20 batang rokok”.

“Kini kerajaan melanggar peraturannya sendiri. Kerajaan tidak sepatutnya menyokong ‘pembekal kematian’. Pengharaman itu perlu dilaksanakan sebagaimana yang dijanjikan,” ujarnya.

Pilihan raya sudah lama, SPR masih kabur istilah rasuah
http://idrisahmad.wordpress.com

PAS merasa pelik SPR baru hendak merujuk dan hendak belajar istilah kesalahan dalam pilihan raya berhubung dengan perbezaan janji piliha raya dan rasuah dalam pilihan raya kepada Jabatan Peguam Negara.

Menurut Datuk Wan Ahmad Timbalan pengerusi SPR, pihaknya banyak menerima pelbagai maklum balas berhubung perkara ini selepas pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor dan Sibu. Ia mempunyai kaitan langsung dengan seksyen 10 kesalahan Akta Kesalahan pilihan raya 1954

PAS yakin, SPR begitu resah dengan laporan kesalahan yang dilakukan oleh “bapa SPR” iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan Presiden Umno/BN telah membuat janji sewaktu saat-saat akhir sebelum kempen berakhir di kubu kuat DAP bahawa akan menyediakan peruntukan RM5 juta bagi projek mitigasi banjir di Rejang Park jika calon Barisan Nasional (BN) Robert Lau diundi.

Beliau menyatakan, kalau Robert Lau dipilih pada hari ahad 16 hb Mei 2010, pada hari Isnin saya akan meminta supaya cek disediakan. Ini merupakan satu kempen yang berupa rasuah dan ugutan. Nampakanya senjata makan tuan berkenaan dengan akta ini.

PAS mengharapkan bahawa SPRM kena menyiasat Presiden umno berkenaan laporan kesalahan yang melampau. Manakala pihak SPR cubalah bebaskan diri supaya menampakkan mereka boleh berjalan sendiri tanpa bergantung kepada tongkat sakti umno/bn yang semakin reput.

Pengawai SPR perlu ingat supaya mereka bekerja untuk rakyat dan menegakkan demokrasi untuk rakyat di negara ini.

Mereka akan pencen dan akan berhadapan dengan masyarakat apabila mereka tidak ada kuasa. Biarlah ada keberanian bukan menjadi singa tua yang tidak ada gusi ketika berhadapan dengan parti pemerintah.

Jika sekiranya SPR tidak boleh bebas, maka janganlah SPR diletakkan di bawah suruhanjaya, eloklah ditukar kepada Jawatankuasa Pilihan raya Barisan Nasional sahaja.

Ustaz Idris Haji Ahmad,
Ketua Penerangan PAS Pusat.

Tuesday, May 25, 2010


Pemuda Gerakan sertai himpunan bantah judi
Mohd Shubihi Zain


ALOR SETAR, 25 Mei: Pemuda Gerakan Kedah dan 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menyatakan kesediaan untuk menyertai Himpunan Membantah Judi yang akan diadakan di Dataran Zero, Sungai Petani, selepas solat Jumaat, 28 Mei ini.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Mohd Nasir Zakaria (gambar) mengajak seluruh rakyat di negeri ini untuk bersama-sama dalam himpunan besar-besaran itu.

Katanya, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda DAP (DAPSY) negeri juga telah menyatakan kesediaan untuk menyertai himpunan tersebut.

Menurutnya, himpunan itu adalah bertujuan menyatakan bantahan rakyat terhadap kelulusan lesen judi bola sepak Piala Dunia 2010 yang dianugerahkan oleh Kerajaan Umno BN kepada Kumpulan Berjaya.

"Himpunan ini adalah rentetan daripada beberapa himpunan yang diadakan di negeri-negeri lain Jumaat lalu dan kemuncaknya rakyat akan berhimpun di Kuala Lumpur untuk menyerahkan tuntutan rakyat terhadap aktiviti perjudian kepada Yang di-Pertuan Agong pada 3 Julai nanti," jelasnya yang juga merupakan Ahli Parlimen Padang Terap.

Menurut Nasir lagi, penganjur juga turut menjemput semua pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik termasuk Umno dan MCA untuk bersama-sama menyertai himpunan itu.

"Perhimpunan ini terbuka kepada semua pihak dan ianya bukan untuk rakyat beragama Islam sahaja, semua agama tidak membenarkan judi kerana judi mengundang banyak keburukan.

"Kita menjemput kesemua NGO-NGO dan parti-parti politik yang ada di negeri ini tapi sehingga kini Umno dan MCA tak memberikan jawapan balas," katanya.


Bukan salah guna proses mahkamah - Sivakumar
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 25 Mei: Speaker Pakatan Rakyat Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, V. Sivakumar (gambar) berpendirian permohonannya untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Persekutuan membenarkan tiga Adun yang keluar parti menjadi wakil Bebas mengekalkan kerusi masing-masing bukan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.


Sebaliknya beliau berkata, permohonan itu adalah untuk membetulkan kesilapan Mahkamah Persekutuan yang mentafsir undang-undang negeri sedangkan ianya bukan bidang kuasa mahkamah berkenaan.

"Ini bukan penyalahgunaan proses mahkamah sebab dalam kes ini kita dapat lihat mahkamah telah menyalahgunakan kuasa. Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mentafsir undang-undang negeri tapi ia telah disalahgunakan dan telah mentafsir undang-undang negeri.

"Apabila perkara ini berlaku, apa salahnya kalau kita bawa semula perkara ini ke mahkamah untuk membuka semula kes ini. Kalau kita tidak buat begini, tidak ada pembetulan boleh dibuat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Semalam, Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin berkata permohonan Sivakumar adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah dan isu yang dibangkitkan pada prosiding telahpun dipertimbangkan sepenuhnya dan diputuskan dalam penghakiman oleh panel Mahkamah Persekutuan yang lain sebelum ini.

Zulkefli yang mengetuai panel tiga hakim, membatalkan permohonan Sivakumar selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh peguam ketiga-tiga wakil rakyat serta peguam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang bertindak sebagai pencelah.

Zulkefli dan dua lagi hakim iaitu Datuk Seri Md Raus Sharif dan Datuk Abdull Hamid Embong, sebulat suara memutuskan bahawa Sivakumar gagal mengemukakan peruntukan undang-undang yang digunakan sebagai asas permohonannya.

Pada 19 April lalu, Sivakumar dalam notis usul yang dikemukakan di mahkamah mendakwa beliau berhak, di bawah undang-undang, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan bertarikh 9 April yang terbatal kerana dibuat tanpa bidang kuasa.

Aduh Tronoh itu juga berkata, satu ketidakadilan telah berlaku apabila Mahkamah Persekutuan enggan menerima permohonan itu.

"Satu kesalahan telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan dan kita cuba membetulkan kesilapan yang dibuat itu. Adakah ini menyalahgunakan mahkamah?"

"Kalau kita tidak betulkan di sini di mana lagi kita nak betulkan? Kita tak ada ruang lain sebab Mahkamah Persekutuan merupakan mahkamah yang paling tinggi di negara kita," katanya lagi.

Sementara itu, beliau juga memberitahu, perbicaraan kes berhubung permohonannya untuk diadakan semakan perundangan bagi mencabar keputusan SPR untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi Dun itu akan berlangsung 27 Mei ini.

Sunday, May 23, 2010


PAS sedang menyatupadukan semua kaum - Abdul Hadi
Hazayani Zakaria, Foto: Shukri Mohamad

KLANG, 23 Mei: Keterbukaan PAS menerima orang bukan Islam menyertai parti Islam itu melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) membuktikan bahawa PAS sedang menyatupadukan semua kaum di negara ini.


Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, jika semua kaum dan etnik di negara digabungkan dengan baik, ianya akan menghasilkan natijah yang baik untuk manfaat negara.

"PAS cuba menyatupadukan seluruh kaum di negara ini dengan membuka pintu kepada orang bukan Islam menyertai PAS.

"Ini terbukti apabila Kelab Penyokong PAS dinaiktaraf sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS," katanya.


Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan pelancaran DHPP di Klang hari ini.


Sebagai gimik pelancaran, beliau menyentuh sebuah glob bertulis DHPP.

Terdahulu dalam ucapannya beliau juga berkata, apa yang boleh menyatukan kaum ialah keadilan dan saling menghormati antara satu kaum dengan kaum yang lain, dan ianya sedang dibuktikan oleh PAS.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, PAS mengambil langkah proaktif sewaktu memerintah Terengganu apabila mencadangkan supaya orang bukan Islam dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

"Ini membuktikan bahawa PAS tidak mengenepikan orang bukan Islam," katanya lagi.

Turut hadir Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub, Bendahari, Dr. Hatta Ramli, Ketua Penerangan, Ustaz Idris Ahmad.

Manakala pimpinan lain termasuk Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali, Pengerusi Lajnah Perpaduan Kaum, Dr. Mujahid Yusof, Timabalannya, Dr.Halimah Ali yang juga pengarah program serta pengerusi dan timbalan pengerusi DHPP Hu Pang Chaw dan N.Balasubramaniam.