Custom Search
"DEMI MASA MANUSIA SENTIASA DALAM KERUGIAN"

Sunday, December 19, 2010

Rakyat berubah, BN rebah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Dis: Pemimpin Umno BN takut berlaku perubahan kerana mereka manusia yang tidak mahu berubah, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad.

“Mereka takut rakyat berubah kerana mereka akan rebah. Mereka tidak mahu kepada urus tadbir dengan baik dan telus kerana takut perut mereka kurus,” ujarnya sambil mengucapkan tahniah kepada pimpinan Pakatan Rakyat (PR), urusetia dan peserta Konvensyen Pakatan Rakyat 2010 yang diadakan di Kepala Batas, Pulau Pinang yang telah berjaya dengan jayanya.

Katanya, konvensyen telah berjaya mencapai matlamatnya.

“Harapan pemimpin umno BN dan media BN cuba untuk mengadu domba supaya konvensyen ini gagal seperti Konvensyen BN 5 Disember lalu yang bergaduh fasal Ketuanan Melayu antara Umno, MCA dan Gerakan, Alhamdulillah perkara ini tidak berlaku,” ujarnya.

Katanya lagi, Konvensyen Pakatan Rakyat berakhir dengan baik, pandangan yang bernas daripada wakil yang mewakili parti daripada pimpinan tertinggi hinggalah kepada sayap parti.

Beliau menambah, cadangan yang dicadangkan di dalam konvensyen begitu praktikal untuk dimanfaatkan oleh rakyat.

“Selepas ini kita akan dengar jawapan daripada pemimpin BN yang resah dengan cadangan yang dibuat di konvensyen dengan tuduhan ini hanya angan-angan PR,” katanya.

Sehubungan itu, ujarnya PAS mencabar pemimpin BN memberi peluang kepada PR dahulu dalam masa 100 hari kepada PR untuk membuktikan sama ada janji PR palsu atau angan-angan.

Mereka, tambahnya akan berhujah di mana wang akan diambil untuk diberi kepada rakyat kerana itulah otak pemimpin BN yang lemah dan tidak kreatif untuk manfaat rakyat.

Sebaliknya, kata beliau mereka begitu kreatif macam mana untuk perut mereka dan keluarga mereka.

Untuk itu, menurutnya PAS ingin mengingatkan kepada Umno BN bahawa PR mampu untuk mentadbir negara di mana PAS sudah membuktikan di Kelantan selama 20 tahun mentadbir.

Tambahnya, Kedah di bawah Umno mengalami masalah kewangan, tetapi mampu ditadbir dengan baik selepas 8 Mac 2008.

“Tawaran yang PR berikan kepada rakyat, kami ada asas untuk melakukannya.

“Apabila rasuah kita buang dalam amalan, ketelusan dalam mengurus, insya Allah PR mampu menunaikan semua pada rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Anwar kekal Ketua Pembangkang
Harakahdaily

KEPALA BATAS, 19 Dis: Pakatan Rakyat membuat keputusan melantik terus Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang walaupun beliau digantung selama enam bulan sebagai anggota Parlimen.

Keputusan itu dicapai oleh mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat yang diadakan di bilik VIP Dewan Millenium, serentak dengan perjalanan konvensyen itu.

Keputusan itu diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berucap membuat ucapan penggulungan di konvensyen Pakatan Rakyat hari ini.

Menurut Abdul Hadi, mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam mesyuarat mereka sekejap tadi telah membuat keputusan mengekalkan Anwar sebagai Ketua Pembangkang.

"Kita tetap mahukan berketuakan beliau," kata Abdul Hadi yang diiringi tepukan gemuruh para perwakilan dan pemimpin Pakatan yang menyertai konvensyen itu.

Anwar bersama dengan Azmin Ali (Gombak), Karpal Singh (Bukit Gelugor) dan R Sivarasa (Subang) telah digantung dari Dewan Rakyat selama enam bulan dalam satu sidang yang sangat kontroversi.

Ia berpunca dari pendedahan Anwar bahawa dasar 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Razak, adalah dibuat oleh APCO Worlwide yang juga memcipta 1 Israel.

Ia tidak disenangi oleh Umno kerana APCO dikaitkan dengan agen-agen Yahudi yang berada di dalam syarikat itu.

Peguam Karpal Singh yang turut digantung dalam ucapan penggulungannya memberitahu, beliau akan memfailkan satu tindakan mencabar tindakan ini ke mahkamah tinggi.

Menurutnya, isu di sini adalah mangsa yang digantung tidak didengari pembelaan mereka sebelum diambil tindakan.

"Ini adalah isu mangsa tidak didengari sebelum dijatuhkan hukuman ke atas mereka," kata Karpal dalam ucapannya.

Ini adalah amalan undang-undang Islam dari Pakistan yang diambil oleh orang puteh (Barat), kata Karpal.

Dalam ucapannya juga Karpal berkata beliau akan mempertahankan Islam sebagai agama rasmi di negara ini dan para penganut agama lain bebas untuk mengamalkan agama maisng-masing.

"Saya akan mempertahankan hal ini dan harap PAS juga jaga kami punya muka," kata Karpal Singh.

Beliau juga berkata, akan berbincang dengan pimpinan PAS terutama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Abdul Hadi mengenai hal ini untuk tidak memberikan peluang kepada BN untuk mengeksploit isu ini.