Custom Search
"DEMI MASA MANUSIA SENTIASA DALAM KERUGIAN"

Monday, August 9, 2010

Kerajaan wajar benarkan mahasiswa berpolitik
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Sudah tiba masanya kerajaan membenarkan mahasiswa berpolitik sebagai proses mematangkan demokrasi di Malaysia dan menjamin hak-hak yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Mohd Fadzil Jamal (gambar) berkata, kerajaan harus terbuka dan ikhlas memberikan ruang kepada mahasiswa menjana kepimpinan diri di alam kampus sekiranya mahu melihat barisan pelapis kepimpinan negara pada masa akan datang berkualiti dan berketrampilan tinggi.

Sehubungan itu, MPMN katanya mendesak kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak membuat kenyataan terbuka kepada umum sekiranya isu membenarkan mahasiswa berpolitik diterima sebulat suara ahli kabinet kerajaan Malaysia.

“Kami, pimpinan mahasiswa MPMN akan terus komited dan konsisten dalam memperjuangkan suara mahasiswa. Kami akan terus membawa suara mahasiswa sampai kepada para pemimpin kerajaan,” ujarnya pada sidang media di Balai Ilmu Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, tengah hari tadi .

Sesungguhnya, kata beliau proses demokrasi di Malaysia harus segera diberikan nafas baru demi melahirkan generasi kepimpinan negara yang berkualiti, berilmu dan berketrampilan untuk menerajui negara pada masa akan datang.

Beliau berkata, MPMN berpandangan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) pindaan 2009 memperlihatkan ruang lingkup partisipasi mahasiswa dengan politik masih terbatas.

Ini, katanya kerana mahasiswa masih lagi dihadkan memberikan idea dan pandangan tentang isu-isu politik negara serta terlibat secara sah dengan parti politik semasa di kampus.

Baru-baru ini, timbul isu yang hangat dibincangkan di media-media dan di kalangan masyarakat adalah membenarkan mahasiswa menjadi ahli parti politik.

Justeru, segelintir pemimpin kerajaan tampil memberikan pelbagai respon terhadap isu itu. Ada di kalangan mereka yang melontarkan respons yang positif dan ada juga yang memberikan pandang sisi negatif.

“Oleh itu, Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) tampil untuk memberikan pendirian terhadap isu ini yang secara jelas perlu diberikan perhatian yang serius oleh kerajaan,” ujarnya.

Perjuang diskaun rumah mewah tetapi lupa subsidi dipotong
Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar membidas pengampu-pengampu pemimpin Umno yang hanya memperjuangkan diskaun untuk pembelian rumah mewah kepada Bumiputera tetapi berdiam diri terhadap pemotongan subsidi.

"Sikap mereka yang membisu seribu bahasa terhadap pemotongan subsidi yang ternyata membebankan rakyat terutama menjelang musim perayaan ini membuktikan sikap mereka yang bukan sahaja tidak prihatin malah tidak peduli sama sekali terhadap penderitaan rakyat terutama yang berpendapatan rendah," katanya.

Malah, katanya lagi, mereka bersekongkol dengan tindakan kerajaan yang hanya berani merampas subsidi dari rakyat dan mengumumkan kenaikan harga barang sebaik sahaja sesi Parlimen selesai bersidang.

Beliau mendedahkan, tidak ada sebarang pandangan diminta mahupun perbicangan secara khusus dibuat bersama-sama Ahli Parlimen sepanjang Parlimen diadakan.

"Selepas tamat sesi Parlimen, kerajaan terus umum kenaikan harga barang tanpa berunding dengan rakyat. Masa bila kerajaan berunding dengan rakyat?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan.

Pengampu-pengampu pemimpin Umno yang membuat bising menentang pemotongan diskaun rumah mewah itu juga lansung tidak peduli terhadap nasib hampir 34 peratus daripada kira-kira 1.3 juta pekerja di negara ini yang memperolehi pendapatan bulanan bawah RM700, katanya.

"Bila harga minyak dan harga barang makanan dinaikkan oleh kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) pimpinan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak), bukan harga barangan tersebut sahaja yang naik harganya tetapi, seperti yang berlaku sebelum ini, ia akan mengakibatkan kesan berganda dan barangan lain juga naik harga.

"Kenaikan harga minyak akan mengakibatkan kenaikan kos pengangkutan dan dengan sendirinya harga begitu banyak barangan lain akan naik harga.

"Kenaikan harga gula pula akan mengakibatkan kenaikan harga makanan dan minuman lain. Beberapa hari lagi kita akan menyambut Ramadhan, pergilah ke pasar-pasar Ramadhan dan lihat sendiri adakah pelbagai juadah yang menggunakan gula sebagai bahan akan tetap sama harga?

"Kalau tidak dinaikkan harga pun, biasanya para peniaga terpaksa mengurang kuantiti atau mengecilkan saiz," kata Mahfuz.

Tetapi, katanya, para pemimpin Umno dan pengampu-pengampu mereka tidak peduli penderitaan rakyat akibat kenaikan harga barang itu.

"Saya yakin, sebahagian besar dari 34 peratus daripada kira-kira 1.3 juta pekerja di negara ini yang memperolehi pendapatan bulanan bawah RM700 itu adalah adalah orang-orang Melayu Islam yang akan menyambut Ramadhan kali ini dengan penderitaan akibat kenaikan harga barang.

"Malang bagi mereka kerana orang-orang Umno hanya sibuk dengan memperjuangkan diskaun untuk pembelian rumah mewah kepada Bumiputera.

"Maklumlah, mereka yang hendak beli rumah-rumah itu kerana pekerja yang berpendapatan bawah RM700 sebulan tentu tidak mampu membeli rumah-rumah mewah itu," kata Mahfuz.