Custom Search
"DEMI MASA MANUSIA SENTIASA DALAM KERUGIAN"

Tuesday, August 31, 2010

SPR, KPN dan AG di bawah parlimen jika PR kuasai Putrajaya
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Perkara pertama yang akan dilakukan Pakatan Rakyat jika memerintah negara adalah meletakkan beberapa konstitusi penting negara di bawah parlimen.

Ianya termasuk badan kehakiman seperti Ketua Hakim negara, badan penguatkuasa seperti seperti Ketua Polis negara, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara tersebut dimaklumkan Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub pada majlis berbuka puasa Naib-naib Presiden PAS bersama media alternatif di sebuah hotel di ibu negara semalam.

Menurutnya, tindakan itu mahu dilaksanakan kerana tidak mahu Pakatan Rakyat melakukan kesilapan sama seperti yang dibuat Umno Barisan Nasional pada waktu ini.

"Kita akan buat satu pindaan perlembagaan meletakkan mereka ini di bawah parlimen.

"Kami bimbang jika dengan sistem yang ada ini, kami juga akan melakukan perkara sama seperti yang dilakukan BN.

Perkara tersebut juga ujarnya, antara keputusan yang telah dipersetujui bersama PAS, PKR dan DAP dalam konvenyen Pakatan Rakyat baru baru ini.

Selain itu Pakatan Rakyat juga berjanji akan melakukan pemulihan terhadap demokrasi negara mengikut apa yang diperuntukkan dalam perlembagaan Malaysia.

Ianya termasuk kebebasan media, kebebasan berhimpun, hak bersuara dan sebagainya.

"Adakah anda mahu, kalau kami di Putrajaya nanti, dengan sistem yang ada sekarang ini tidak diubah, kami juga akan mencengkam media seperti yang Umno BN buat pada hari ini? " soalnya kepada lebih 50 warga media yang diraikan.

Turut serta pada majlis itu, Datuk Mahfuz Omar manakala seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak dapat hadir kerana menghadiri majlis berbuka puasa di Istana Pahang.

Mahfuz dalam ucapannya pula melahirkan penghargaan kepada warga media yang banyak membantu PAS dalam usaha memperjelaskan isu semasa kepada rakyat.

Sehubungan itu, Mahfuz berharap usaha dan kerjasama antara kedua-dua pihak akan terus berlaku.

Bantuan raya: Kedah dicadang guna dinar, dirham
Mohd Ali Hashim

ALOR SETAR, 31 Ogos: Ahli Dewan Negara, Senator Zambri Yusuf mencadangkan Kerajaan Negeri Kedah supaya membayar bantuan khas sempena Aidilfitri kepada kakitangannya dengan menggunakan mata wang Dinar atau Dirham Kelantan.

Menurut beliau, dengan penggunaan dinar atau dirham adalah sebagai satu kaedah yang positif bagi memastikan ekonomi bergerak dengan lebih lancar dan adil.

"Penggunaan mata wang ini mampu untuk mengurangkan risiko manipulasi dalam sektor ekonomi dan pasaran.

"Pendedahan penggunaan mata wang ini perlu dipromosikan kerana ketika ini masyarakat belum jelas mengenai ketetapan nilai dinar dan dirham yang bergantung kepada nilai pasaran emas," katanya.

Beliau yang juga mantan Pengerusi PKR Kedah berkata, sekiranya maklumat tepat dan jelas diberikan kepada masyarakat mengenai sistem yang akan diguna pakai ini, ia akan dapat diterima oleh semua pihak.

Oleh kerana itu Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri perlu meneruskan usaha ke arah penggunaan dinar dan dirham dari aspek yang lebih praktikal.

"Rakyat juga dinasihatkan supaya tidak terperangkap dengan pemikiran sempit oleh segelintir pihak yang terlalu takut kepada kaedah alternatif yang sedang giat diperkenalkan di Kelantan," ujarnya lagi.

Kata Zambri lagi, penggunaan emas 22 karat pada dinar adalah lebih tahan lasak sebagai mata wang penggunaan harian.

Manakala kadar berat 4.25 gram adalah perbandingan yang amat jelas di antara nilai dinar dan nilai emas di pasaran.

Sebagai Penyelaras Pemilihan PKR Negeri Kedah, beliau juga menyatakan penjelasan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Kelantan membuktikan kajian terperinci dan mendalam telah mereka lakukan dalam aspek dan ciri-ciri penggunaan dinar dan dirham tersebut.

Isteri menteri pun tak tutup aurat di masjid
Mohd Ali Hashim

ALOR SETAR, 31 Ogos: Sebelum ini, ramai juga di kalangan isteri pemimpin negara dan menteri yang beragama Islam tidak menutup aurat dengan betul semasa menghadiri majlis di surau dan masjid.

Sehubungan itu, Kerajaan Pusat atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sepatutnya mengeluarkan notis makluman kewajipan menutup aurat kepada semua pihak yang ingin memasuki surau atau masjid di negara ini.

Demikian dinyatakan oleh Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul sebagai mengulas isu Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang didakwa tanpa menutup aurat telah berucap di ruang solat surau Al-Huda, Kajang Sentral baru-baru ini.

Beliau juga berharap notis yang dikeluarkan itu mampu untuk memberi penjelasan yang sebenar mengenai kepentingan menutup aurat dan menjaga kesucian masjid dan surau.

"Notis menjelaskan adab memasiki masjid atau surau perlu dikeluarkan sebagai rujukan masyarakat Islam dan juga yang bukan Islam dalam negara ini.

"Tidak dinafikan adanya unsur-unsur pilih kasih dalam isu ini kerana sebelum ini juga terdapat di kalangan isteri menteri yang beragama Islam sendiri memakai tudung tetapi tidak menutup aurat sewaktu hadir majlis di masjid.

"Manakala tuntutan menutup aurat bagi bukan Islam bukanlah sesuatu yang wajib bagi mereka," katanya lagi.

Mereka juga seolah-olah tidak memberatkan tuntutan agama supaya menutup aurat sebagai seorang isteri kepada pemimpin Islam dan memperlihatkan contoh yang patut diikuti kepada wanita Islam yang lain.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tokai menggesa mereka yang bertanggungjawab supaya menyediakan garis panduan tersebut kepada orang Islam dan bukan Islam tanpa mengira pangkat dan kedudukan, dan bukannya dengan memakai tudung tetapi rambut mereka masih kelihatan.

Umno juara fitnah, cetus sentimen agama
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) kesal kerana Umno terus memainkan intrumen fitnah bagi memburukkan Imej PAS dan Pakatan Rakyat, walaupun masih berada dalam bulan Ramadhan.

Pemangku ketuanya, Herman Samsudeen berkata, tindakan cybertrooper Umno yang menggunakan nama "PAS Beruk" mencipta dan menyebarkan gambar super impose yang kononnya Lim Guan Eng sedang menyembelih lembu korban untuk umat Islam dengan tagline "Sanggupkah kita lihat jika jadi begini? Dalil apa lagi nak halalkan perbuatan DAP??" adalah keterlaluan dan sengaja mencetus sentimen agama.

“DPPWP kesal kesal budaya fitnah terus membiak dalam Umno walaupun dalam bulan Ramadhan ini. Begitu jauh mereka tersasar dari hidayah Allah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Baginya, demi kepentingan politik mereka, gambar sedemikian dicipta, walhal gambar sebenar adalah menunjukan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sedang menyembelih lembu korban untuk rakyat.

Katanya, gambar berkenaan sengaja direka dengan harapan rakyat melihat bahawa kerjasama PAS dan DAP kononnya merosakan Islam.

“Hal sebegini sudah berakar umbi dalam Umno sehingga diwarisi oleh anak-anak muda hingusan yang baru bersama Umno,” katanya.

Sebelum ini, media Umno-Utusan Malaysia memutar belitkan fakta dengan menyebarkan kepada rakyat yang ahli parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching beri 'tazkirah' dalam surau di mana ucapan aluan sengaja ditukar kepada 'tazkirah' bagi mencetuskan polemik awam.

Dua hari lepas, Tan Sri Zainuddin Maidin yang juga mantan Ketua Penerangan Umno pula menyebarkan fitnahnya dengan mengatakan PAS mahu rampas harta Cina semasa peristiwa 13 Mei dan PAS kononnya turut menyokong tindakan Indonesia menyerang Malaysia semasa konfrontasi.

“Semua ini adalah fantasi Umno. Kini mereka bermain gambar pula, sama seperti gambar Zaid minum arak yang mereka cipta di Hulu Selangor. Tindakan ini menunjukan Umno semakin kehabisan modal untuk burukkan PAS dan Pakatan rakyat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, DPPWP berharap pemimpin dan ahli Umno bertaubat.

Katanya, semakin banyak fitnah disebar, semakin terdedah keburukan Umno, semakin banyak fitnah disebar, semakin meluat rakyat kepada Umno.

“Malulah kepada bukan Islam, malulah kepada umat Islam, malulah kepada Allah kerana perbuatan fitnah ini begitu jijik dan jauh lebih dahsyat dari membunuh. Ianya tidak akan diterima oleh mana-mana kaum dan agama sekalipun,” ujarnya lagi.

Popularkan agenda 'institusi reform'
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: PAS ajak penggerak media baru supaya mempopularkan agenda 'institusi reform', kata naib presidennya, Salahuddin Ayub.

"Mewakili PAS, betapa pentingnya PAS dan media ini mesti terus bersama dalam menggerakkan suatu reformasi.

"Apa yang diharapkan, rakan-rakan media akan terus bersama kami dalam mengagendakan kembali 'institusi reform' yang menjadi asas perjuangan kita bersama," ujarnya malam tadi pada Majlis Berbuka Buasa Bersama Media.

Agenda 'institusi reform' yang dimaksudkan adalah menawarkan kerangka reformasi pentadbiran yang jauh lebih baik bagi menggantikan sistem yang sedia ada dalam negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, 'institusi reform tersebut meliputi institusi mahkamah, Petronas, sistem demokrasi, Parlimen dan sebagainya.

"Sebaik PAS bersama Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, perkara pertama yang akan kami buat adalah reformasi di peringkat institusi," ujarnya.

Baginya, dengan mempopularkan 'agenda reform' kepada rakyat sebenarnya boleh menjamin masa depan Malaysia yang lebih baik, bukannya sekadar menggantikan Umno BN semata-mata.

"Bagi institusi reform ini dilakukan, apabila kami (Pakatan Rakyat) mengambil alih negara, kami tidak akan mengulangi kesilapan silam Umno BN disebabkan sistem yang ada (adalah) sistem lama," ujarnya lagi,

Sebelum pada itu, Datuk Mahfuz Omar, seorang lagi Naib Presiden PAS memuji beberapa wartawan media baru kerana begitu agresif mempopularkan inisiatif PAS dalam menumbangkan Umno BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak.

Kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, ahli politik dan media mempunyai peranan masing-masing.

"Sebagai seorang ahli politik, ia tidak boleh berpisah daripada media, begitu juga media, mereka pun ada agenda."

"Selagi mereka tidak dapat berita, mereka akan cuba dapat," ujarnya.

Katanya, penggerak media baru akan menjadi kumpulan paling berkesan dalam menyalurkan maklumat pada rakyat sempena menghadapi PRU13 kelak.

Tandatangan online sokong hapus saman ekor
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) berharap anak-anak muda seluruh negara dapat bersama menurunkan tandatangan secara online sebagai tanda sokongan menghapuskan saman ekor yang dilihat tidak mendidik pemandu sebaliknya memeras wang rakyat dengan cara halus.

Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, ini lanjutan daripada pelancaran Kempen Sejuta Tandatangan Bantah Saman Ekor yang dilancarkan pada 23 Ogos lepas di Bazaar Ramadhan Pasar Keramat.

Tambahnya, tandatangan bolehlah diturunkan di alamat http://www.petitiononline.com/saman/petition.html mulai sekarang dan akan berakhir pada 31 Oktober nanti.

Katanya, walaupun kempen itu sedang rancak gerak kerjanya di peringkat parlimen yang diuruskan oleh setiausaha DPP kawasan-kawasan, namun DPPP merasakan perlunya satu alternatif yang lain iaitu dengan melalui dunia siber yang semakin popular terutamanya di kalangan masyarakat bandar dan ibu kota.

“Kempen begini dirasakan perlu oleh DPPP dalam usaha untuk menarik masyarakat terutamanya golongan anak-anak muda untuk menyatakan sokongan supaya dapat bersama-sama DPPP bagi menyatakan sikap terhadap kerajaan Malaysia agar memansuhkan terus saman ekor, bukannya menangguhkannya,” ujarnya.

DPPP melancarkan kempen tersebut sebagai sokongan kepada usaha Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena melalui Kempen Anti Saman Ekor (KASE) yang begitu komited dalam menentang saman ekor.

Katanya, kempen itu dijalankan ekoran kesukaran untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu mereka yang telah disenaraihitamkan ekoran mempunyai saman ekor.

Tambahan pula, ujarnya dengan rintihan rakyat tentang saman ekor yang jelas membebankan, maka DPPP mengambil ketetapan untuk mengumpul tandatangan membantah saman ekor dan sedang digerakkan ke seluruh negara yang mana kemudiannya akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai tanda bantahan.