Custom Search
"DEMI MASA MANUSIA SENTIASA DALAM KERUGIAN"

Friday, June 4, 2010

Serangan rejim Israel buka mata pemimpin umat Islam
Khairul Azlam Mohamad

MARANG, 5 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, sejak tragedi serangan ganas komando rejim Israel terhadap sukarelawan yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan Gaza Isnin lalu telah berjaya membuka mata pemimpin-pemimpin orang Islam.

“Alhamdulillah, tanda-tanda yang menunjukkan negara orang Islam mula hendak sedar dan insaf. Mudah-mudahan, Allah SWT akan memberi taufik dan hidayah kepada pemimpin-pemimpin orang Islam supaya balik ke pangkal jalan,” ujarnya ketika merasmikan Kembara Tarbawi 4WD Ke Blok 6 Air Putih, Kemaman di Rusila, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, tindakan kejam tentera Israel itu juga turut menguji kekuatan umat Islam secara amnya.

Ini, katanya kerana bangsa Yahudi juga bercita-cita untuk menakluki wilayah Palestin serta menjadi kuasa besar dunia yang berpusat di Israel.

Tambah beliau, penganut agama Yahudi hari ini mempercayai empat rukun yang telah dipinda serta disesatkan.

Pertama, katanya orang Yahudi menganggap mereka adalah bangsa yang dipilih oleh Allah SWT manakala bangsa-bangsa lain adalah ‘binatang-binatang’ yang dijadikan rupa manusia yang membolehkan mereka melakukan apa sahaja termasuk membunuh bangsa lain.

Mereka juga, katanya berhasrat untuk mendirikan Haikal Sulaiman iaitu kuil yang mereka dakwa pernah didirikan oleh Nabi Sulaiman a.s. dan tapak kuil itu ialah Masjidil Aqsa yang menjadi tempat Israk Nabi Muhamad s.a.w.

Rukun ketiga, jelasnya bangsa Yahudi mahu mendirikan negara besar dunia yang berpusat di Israel di mana seluruh dunia akan tunduk kepadanya.

“Keempat, mereka menunggu al-Maseh. Al-Maseh ialah yang memimpin Yahudi untuk menakluk dunia. Kepada kita orang Islam, al-Maseh ialah ‘dajjal’ yang dijanjikan oleh Nabi s.a.w.,” jelasnya.

Beliau juga menjelaskan Masjidil Aqsa yang merupakan kiblat pertama bagi umat Islam kini menjadi rebutan dengan bangsa Yahudi.

Ekoran itu, katanya, orang Yahudi bertindak ganas dengan merampas tanah-tanah umat Islam di Palestin serta mengorek di sekeliling Masjidil Aqsa.

Justeru, beliau menegaskan bahawa tidak ada lagi rundingan atau perbincangan dengan negara haram Israel yang berhasrat untuk menakluk dunia.

“Hari ini, saya pakai baju ‘peluru’ bukan hendak berperang di sini. Tetapi hendak jadi simbol bahawa kita tidak boleh ajar Israel melainkan dengan peluru.

“Tidak ada lagi rundingan, tidak ada lagi perbincangan dengan negara yang berhasrat meluaskan wilayah mereka di seluruh dunia.

“Kita hendaklah mendidik diri kita menjadi umat yang kuat, umat yang gagah, umat yang bersedia untuk mati bagi menegakkan agama Allah SWT,” tegasnya.


Thursday, June 3, 2010

Lepas Kota Siputeh dan Gurun, kini Kuala Nerang
Zulkifli Yahaya

Lenyap isu empat ADUN Pakatan Rakyat lompat parti di Kedah, muncul pula satu isu baru kononnya seorang ADUN Barisan Nasional pula akan melompat ke dalam PAS. Tiupan khabar sensasi itu laju juga dibawa angin. Sekalipun ia khabar angin, setiap yang mendengarnya akan tertanya-tanya. Ia tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja. Maknanya, suasana politik pasca Tsunami hari ini, sukar lagi untuk menidakkan andaian politik yang dulunya dianggap karut dan merapu.

ADUN yang dimaksudkan itu ialah Syed Sobri Syed Hashim, memenangi kerusi Kuala Nerang dalam pilihanraya umum lalu mengalahkan Ustaz Zawawi Ahmad dari PAS dengan majoriti 805 undi.

Sebelum menceburi politik sepenuh masa, Syed Sobri adalah tokoh korporat. Mungkin kerana ‘kehebatannya’ maka beliau dilantik sebagai CEO Syarikat Seri Temin Development Corporation (STDC) yang merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Dalam pilihanraya umum 2008 Syed Sobri boleh dianggap sebagai calon BN yang ‘terlepas pandang’ oleh kepimpinan tertinggi parti itu. Sebaik diisytiharkan calon, beliau ditelanjangkan habis-habisan oleh pihak dalam partinya sendiri. Pelbagai isu, termasuk skandal peribadi didedahkan. Semua itu bukan kerja orang PAS kerana rakan-rakan yang pernah rapat dengannya sahaja yang tahu semua rahsia tersebut. Jika PAS ada maklumat begitu pun, bukan caranya sebuah parti Islam mengaibkan musuhnya begitu teruk. Umno adalah musuh tradisi PAS, namun PAS tetap berpegang kepada amalan Islam berakhlak sekalipun dalam peperangan. Semua yang berlaku itu adalah catatan awal yang mungkin membawa Syed Sobri terasa hati dengan pihak tertentu dalam Umno sendiri.

Ditakdirkan Syed Sobrie menang juga. Beberapa bulan selepas bergelar ‘YB’ dia menerima penangan pertama dari mahkamah apabila diisytiharkan muflis. Baru terbongkar rupanya beliau menghadapi masalah kewangan yang rumit. Pengisytiharan muflis itu untuk satu kes, sedangkan banyak lagi kes lain yang menunggu.

BN tidak sanggup menghadapi pilihanraya ketika mereka menghadapi kekalahan demi kekalahan dalam pilihanraya kecil. Najib mengarahkan sebanyak mana pun hutang ADUN Kuala Nerang itu, ia mesti dilunaskan. Walaupun Speaker DUN Kedah, Dato’ Dr. Isa Ismail telah menghantar notis kehilangan kelayakan sebagai ADUN akibat muflis kepada SPR, namun notis itu tidak terpakai apabila hutang Syed Sobri sebanyak RM150 ribu diselesaikan segera oleh pihak Najib.

Di kalangan musuh politik beliau dalam parti tidak senang dengan keistimewaan yang diberikan kepadanya. “Untung jadi YB, hutang banyak mana pun PM lunaskan..” kata-kata sindiran itu terpancul dari mulut pemimpin-pemimpin Umno yang tidak puas hati.

Masalah besar bagi Syed Sobri ialah kes-kes mahkamah lain yang sedang menunggu untuk dia dimufliskan. Khabarnya hampir RM11 juta. Sanggupkah Najib menanggung biawak hidup hanya untuk selamatkan maruah BN dari lenyap satu lagi kerusi selepas Kota Siputeh?

Di kalangan pemimpin Umno yang lain di Kedah sudah mula merungut, “Kami pun banyak hutang awat Najib tak tolong?” Syed Sobri sebenarnya yang lebih tertekan dengan suara sinis seperti itu.

BN mempunyai pilihan untuk melewat-lewatkan kes mahkamah terhadap Syed Sobrie. Sehingga selepas tiga tahun PRU ke 12, kes tersebut boleh dibicarakan di mahkamah dan beliau dimufliskan. BN tidak bantu lagi kali ini dan mereka hilang satu kerusi. Sekalipun hilang namun tiada pilihanraya kecil. RM11 juta duit yang diguna untuk membantu Syed Sobri boleh diagihkan kepada 15 bahagian Umno di Kedah. Besar nilainya sebagai modal untuk menentang PAS dalam usaha merampas Kedah.

Cara tersebut tetap menjatuhkan maruah BN kerana mereka hilang kerusi. Maka cara terbaiknya ialah Najib (dengan kuasa yang ada) melambat-lambatkan lagi kes mahkamah tersebut sehingga selepas PRU ke 13.

Sama ada cara pertama atau kedua, Syed Sobri terpaksa menanggung akibatnya bersendirian. Dia akan diiystiharkan muflis. Sekarang pun kerjaya politik beliau nampak sudah di penghujung. Orang bermasalah sepertinya tidak mungkin diberi peluang menjadi calon untuk PRU ke 13 nanti. Dia akan senasib dengan Dato’ Abu Hasan Sarif di Kota Siputeh.

Dalam satu perkembangan yang lain Syed Sobri dilihat jinak dengan PAS. Dia dilaporkan bertemu secara sulit dengan pemimpin PAS. Beliau adalah satu-satu ADUN BN yang menyambut kedatangan Menteri Besar yang berkunjung ke daerah. Dia pernah dilihat bersolat jamaah berdua dengan Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Nasir Zakaria. Ustaz Nasir imam, dia makmun. Semua itu menjadi buah mulut rakyat Kedah.

Apabila tersebar khabar angin bahawa Syed Sobri akan masuk PAS ia menyempurnakan jalan cerita yang telah dimulakan. Dengan latarbelakang masalah peribadi yang dilaluinya, ramai yang lebih percaya bahawa ia cuma perang saraf atau ugutan untuk menakutkan Najib, berbanding keikhlasannya (jika) menyertai PAS.

“Saya tidak menolak kemungkinan tindakan mengejut Syed Sobri adalah satu gimik untuk memeras ugut kepimpinan Umno negeri untuk memenuhi permintaan dan hasrat peribadi beliau semata-mata,” kata Dato’ Rozai Shafian selaku Setiausaha BN Negeri Kedah. Pandangan Rozai diterima ramai, tetapi ditempelak habis-habisan oleh Syed Sobrie sambil mendedahkan segala kelemahan Rozai dalam memimpin Umno dan BN. Ia menimbulkan babak pertelagahan yang baru dalam Umno.

Episod kehilangan kerusi DUN Kota Siputeh belum berakhir. Jika berlaku pilihanraya kecil BN belum tentu menang. Kerusi DUN Gurun masih di awangan apabila ADUNnya, Dr. Leong Yong Kong mengisytiharkan bercuti dari politik MCA. Ia gara-gara kecewa dengan kemelut politik parti itu akhir-akhir ini.

Dalam ura-ura kononnya akan berlaku lompat katak ADUN KeADILan dan DAP, terdapat perancangan untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar. Dr. Leong menegaskan lebih awal kepada pihak Menteri Besar bahawa dia sekali-kali tidak akan menyokong usul tersebut. Sikap itu tidak menyenangkan BN, sekalipun beliau tidak lompat parti.

BN merancang untuk menggugat kerajaan Pakatan Kedah melalui isu lompat parti, pembubaran DUN ataupun kerajaan katak. Namun yang pasti kini tiga buah kerusi mereka pula yang tergugat; Kota Siputeh, Gurun dan Kuala Nerang. Benarlah maksud firman Allah, “Manusia merancang, Allah juga merancang…”


Najib wajar sertai perbincangan meja bulat
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 2 Jun: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sewajarnya menyertai perbincangan meja bulat "Keamanan dan Keadilan Untuk Gaza" anjuran Pakatan Rakyat esok sebagai membuktikan kesungguhan beliau dalam mengutuk tindakan tentera Israel menyerang konvoi yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, Isnin lalu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar (gambar) berkata, Najib seharusnya mengambil bahagian dalam perbincangan itu sebelum membentangkan satu usul di Dewan Rakyat pada Isnin ini.

"Kita mahu pastikan Perdana Menteri turunlah sekali semasa perbincangan meja bulat esok supaya dapat dibincangkan dengan lebih lanjut lagi perincian isu ini sebelum dibawa ke Parlimen. Kami menunggu PM untuk menyahut jemputan tersebut," katanya pada satu sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Lembah Pantai, hari ini.

Perbincangan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru pada jam 10.30 pagi esok akan dihadiri oleh pimpinan Pakatan Rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta pimpinan mahasiswa kampus di seluruh negara.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen, dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan menyampaikan ucapan aluan sebelum perbincangan bermula.

Nurul Izzah juga berkata, Najib harus mengenepikan sentimen kepartian sebaliknya menunjukkan kebersamaan dalam isu yang melibatkan keamanan sejagat.

"Pada 1 Januari 2009 wujud usul antara ahli parlimen Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat menyokong isu Palestin dan mengutuk Israel. Kesinambungannya, memang eloklah jika PM turun bersama ke sidang meja bulat esok.

"Ini merupakan isu kebersamaan yang dipersetujui dari awal dan kita menunggu BN juga untuk meneruskan agenda agar kita dilihat mementingkan isu ummah, bukan isu kepartian dalam hal ini," katanya.

Kerajaan akan membentangkan satu usul di Dewan Rakyat pada Isnin ini bagi mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel menyerang kapal Turki ‘Mavi Marmara’ yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza Isnin lalu.


Rakyat belum bebas daripada fahaman Yahudi
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 3 Jun: Pembebasan 12 sukarelawan rakyat Malaysia yang ditahan oleh rejim zionis Israel belum lagi membuktikan rakyat akan bebas sepenuhnya daripada fahaman Yahudi.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata selagi negara tidak menghentikan kerjasama dengan syarikat yang ada hubungan dengan Israel, APCO Worldwide.

Jelas Tuan Guru, menarik balik kerjasama dengan APCO hanya sebahagian cara untuk menyingkirkan Israel, namun membuang rasa sayang dan cinta kepada Yahudi adalah jalan yang lebih baik.

“Ini kerana Yahudi termasuk Israel adalah makhluk perosak yang wajib dihindari oleh sesiapapun,” ujarnya yang juga Musyidul Am PAS.

Menurutnya lagi, Yahudi sejak zaman dahulu lagi bersifat jahat serta membunuh para nabi, bukannya masyarakat kampung biasa sekiranya tidak mengikut kehendaknya.

“Setiap kali sembahyang kita membaca al-Fatihah, ada di antara maksudnya kita tidak mahu jadi pengikut Yahudi dan Nasrani,” ujarnya.

Menyentuh tentang tangkapan yang dibuat oleh Israel terhadap 12 rakyat Malaysia, beliau memberitahu bukan sahaja di sana, Malaysia sendiri turut mengurung rakyatnya di bawah ISA jika tidak mengikut kehendaknya.

Beliau bagaimanapun melahirkan rasa syukur terhadap pembebasan itu.