Custom Search
"DEMI MASA MANUSIA SENTIASA DALAM KERUGIAN"

Thursday, June 3, 2010


Najib wajar sertai perbincangan meja bulat
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 2 Jun: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sewajarnya menyertai perbincangan meja bulat "Keamanan dan Keadilan Untuk Gaza" anjuran Pakatan Rakyat esok sebagai membuktikan kesungguhan beliau dalam mengutuk tindakan tentera Israel menyerang konvoi yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, Isnin lalu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar (gambar) berkata, Najib seharusnya mengambil bahagian dalam perbincangan itu sebelum membentangkan satu usul di Dewan Rakyat pada Isnin ini.

"Kita mahu pastikan Perdana Menteri turunlah sekali semasa perbincangan meja bulat esok supaya dapat dibincangkan dengan lebih lanjut lagi perincian isu ini sebelum dibawa ke Parlimen. Kami menunggu PM untuk menyahut jemputan tersebut," katanya pada satu sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Lembah Pantai, hari ini.

Perbincangan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru pada jam 10.30 pagi esok akan dihadiri oleh pimpinan Pakatan Rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta pimpinan mahasiswa kampus di seluruh negara.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen, dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan menyampaikan ucapan aluan sebelum perbincangan bermula.

Nurul Izzah juga berkata, Najib harus mengenepikan sentimen kepartian sebaliknya menunjukkan kebersamaan dalam isu yang melibatkan keamanan sejagat.

"Pada 1 Januari 2009 wujud usul antara ahli parlimen Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat menyokong isu Palestin dan mengutuk Israel. Kesinambungannya, memang eloklah jika PM turun bersama ke sidang meja bulat esok.

"Ini merupakan isu kebersamaan yang dipersetujui dari awal dan kita menunggu BN juga untuk meneruskan agenda agar kita dilihat mementingkan isu ummah, bukan isu kepartian dalam hal ini," katanya.

Kerajaan akan membentangkan satu usul di Dewan Rakyat pada Isnin ini bagi mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel menyerang kapal Turki ‘Mavi Marmara’ yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza Isnin lalu.

0 comments: