Custom Search
"DEMI MASA MANUSIA SENTIASA DALAM KERUGIAN"

Sunday, May 16, 2010

Kerjasama erat PAS-PKR-DAP menangkan Pakatan di Sibu
Nazri Abdullah

SIBU, 17 Mei: Kerjasama erat antara PAS, PKR dan DAP tidak boleh dinafikan antara faktor penyumbang kemenangan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu semalam.

Timbalan Pengarah III Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmod (gambar) berkata seluruh peringkat bermula dari pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti hingga ke peringkat jentera, mempamerkan semangat berpasukan yang tinggi sepanjang kempen di sini.

"Kita sangat berpuas hati dengan keputusan yang kita dapat.

"Pilihan raya ini kita dapat lihat kerjasama cukup padu dan jitu dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Usaha kuat ketiga-tiga jentera parti dalam Pakatan Rakyat ini juga jelasnya turut dirasai calon DAP yang telah menang, Wong Ho Leng dan diakui oleh Setiausaha DAP, Lim Guan Eng sendiri.

Dengan keadaan masyarakat Sibu yang kurang terdedah dengan maklumat dan hanya mendengar sebelah pihak, kemenangan kali ini dianggap berbaloi dengan usaha yang telah dilakukan jentera Pakatan Rakyat.

Ianya juga membuktikan, strategi kempen rumah ke rumah sangat berkesan menangkis tohmahan BN yang meggunakan seluruh saluran yang mereka ada.

"Kalau melihat kepada bendera di rumah-rumah, kita rasa memang kita kalah.

"Rupa-rupanya mereka tidak mahu dilihat bersama dengan Pakatan Rakyat, tetapi mereka sebenarnya mengundi kita," katanya.

Selain itu, mengulas ringkas kekalahan memalukan BN pula beliau berkata, antara lain dilihat berpunca dari protes kaum Melayu terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, masyarakat Melayu di beberapa tempat sepeti di Nangka, Pelawan dan Seduan kecewa dengan layan tidak sama rata Najib yang beberapa kali datang berkempen.

Najib, katanya seperti meminggirkan masyarakat Melayu Melanau di situ kerana mungkin yakin mereka pengundi tegar BN.

"Saya belum lihat secara keseluruhan lagi, cuma mungkin pengundi Melayu protes terhadap Najib.

"Najib datang tiga kali tapi bertemu dengan bukan Melayu dengan menawarkan pelbagai insentif," ujarnya.

Dalam pilihan raya kecil semalam, Wong Ho Leng yang juga Adun Bukit Assek, memperoleh 18,845 undi menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew, yang mendapat 18,447 undi manakala calon Bebas, Narawi Haron memperoleh 232 undi.

Kemenangan mengejutkan semua pihak?

http://msomelayu.blogspot.com


SYABAS diucapakkan kepada DAP, dan syabas juga kepada Pakatan Rakyat dan syabas juga kepada pengundi Sibu di atas kemenangan calon DAP, Wong Ho Leng dalam pilihan raya kecil Sibu. Kemenangan itu seperti mana dikatakan ia adalah satu kejutan. Kejutan itu bukan saja kepada DAP tetapi kepada BN.

DAP harus terkejut kerana mungkin mulanya mereka merasakan sukar untuk menang apabila BN telah sedia menurunkan Perdana Menteri, Najib Razak untuk memenuhi apa saja kehendak rakyat. Najib tanpa merasa malu dan segan menawarkan RM18 juta untuk sekolah Cina. Masyarakat Cina bijak dan arif segala pemberian instant itu, mereka menerimanya sebagai tanggungjawab tetapi bukan untuk mengikut heretan Najib dan BN. Dalam erti kata lain orang Cina tidak sedia menjadi lembu.

Ternyata janji untuk menatahkan bumi Sibu dengan intan berlian ditolak oleh pengundi di Sibu khasnya orang Cina. Dalam pada itu kemenangan itu memberi gambaran bahawa politik baru yang mengemukakan harapan baru oleh Pakatan Rakyat mula 'menjelira' ke dalam hati masyarakat di sana.

BN harus berwaspada dengan apa yang berlaku. Kekalahan mengejutkan dan di luar dugaan itu perlu diberi tumpuan yang mendalam. BN tidak boleh cuba mencari helah-helah lain untuk tidak menerima kekalahan itu. Segala janji yang telah ditaburkan dan termasuk replika cek yang diberikan harus ditunaikan.

Kekalahn itu memberi peringatan kepada BN bahawa politik wang yang diagungkan selama ini bukan menjadi modal dan penentu kepadanya. Rakyat tidak dapat menirima projek dan wang untuk melindungi keburukan pentadbiran kerajaan BN yang lain.

Kepada Taib Mahmud pula kekalahan calon SUPP-BN itu mungkin memberi ilham kepadanya untuk membuat penilaian semula bagi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak. Sudah pasti kemenangan DAP dengan meraih 398 undi itu memberi isyarat yang parti itu akan menjadi parti alternatif bagi masyarakat Cina terbaik di Sarawak untuk masa akan datang.

Sudah pasti persepakatan DAP bersama PKR dan Pas ia juga akan turut memberi keuntungan bersama kepada Pas dan DAP di negeri Bumi Kenyalang itu. Pas yang bertungkus lumus untuk mempengaruhi undi Melayu Melanau khasnya di Dun Nangka itu tentu tumpang bergembira dengan kemenangan itu

Kalah di Sibu, mimpi ngeri BN!
Perakite

Kemenangan DAP menumpaskan calon BN di PRK Parlimen Sibu merupakan satu mimpi ngeri bagi PM DS Najib Tun Razak dan TPM TS Muhyiddin Yassin.

Ia satu tamparan memalukan kerana seluruh jentera BN turun padang untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi BN pada pru 12 2008 lepas. Hanya lebih sedikit daripada dua tahun kerusi itu berpindah tangan kepada Pakatan Rakyat (DAP).

Gelak sorai kemenangan PRK Hulu Selangor nampaknya tidak berpanjangan.

DAP tidak menaruh harapan besar untuk memenangi kerusi Sibu memandangkan bertanding di kawasan yang dikuasai BN. Taburan janji dan projek umpama mee segera oleh Najib dan Muhyiddin ternyata disantap dengan baik oleh pengundi SIBU, dan keadaan ini menakutkan pemimpin veteran DAP LKS yang mengatakan harapan tipis.

Namun jelas umpan dimakan, ikan tak lekat. Apakah mungkin dendam BN membara pada penduduk SIBU ?

Apapun yang jelasnya hanya 60 peratus yang keluar mengundi. Satu angka peratusan yang amat rendah bagi satu pilihan raya kecil. Secara am, ia menunjukkan bahawa mereka memprotes dengan tidak keluar mengundi.

Kemenangan DAP adalah satu mimpi ngeri kepada BN, akan menakutkan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti. Ia membuktikan bahawa rakyat sebenarnya belum mengubah pendiriannya terhadap Pakatan Rakyat sejak pru 12. Mereka sekadar menyimpan kuku.

Persepsi rakyat berketurunan Cina terhadap sikap Umno tersangat kritikal. Mereka telah dapat membandingkannya dengan peranan dan pendirian PAS. Mereka telah dapat menerima PAS meskipun dilemparkan oleh UBN dengan pelbagai kecaman.

Senjata telah mula memakan diri. Pendekatan Umno melalui Perkasa juga mulai menikam diri. Padah kerana sikap Umno sendiri yang menyakini bahawa Umno itu adalah dominan.

Ringkasnya pada pru mendatang nanti... di mana jua Umno bertanding ... Umno akan berhadapan dengan masalah besar apabila sesuatu kawasan itu mempunyai 30-40 peratus pengundi bukan Melayu.

Apatah lagi jika jumlahnya melebihi anggaran itu. Yang kuat dan nampak kuat dalam BN kini hanyalah Umno, manakala komponen-komponennya sekadar menumpang kekuatan Umno itu sendiri.

Seandainya Umno rebah, maka akan rebahlah seluruh BN. Sesungguhnya BN telah rebah di Sibu. Rebah yang tidak akan kebah.