Custom Search
"DEMI MASA MANUSIA SENTIASA DALAM KERUGIAN"

Saturday, December 4, 2010

Kerajaan negeri mahu beli Penang Port
Mohd Sabri Said


GEORGETOWN, 4 Dis: Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat membeli dan mengambil alihan Penang Port Sdn Bhd selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa setiap penswastaan utama dan penganugerahan projek akan dilaksanakan dengan telus dan terbuka menerusi tender antarabangsa untuk memaksimumkan hasil.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menerusi surat yang dikirimkan kepada Najib pada 2 Disember lepas juga berharap satu perbincangan diadakan dan beliau sendiri akan membentangkan cadangan kerajaan negeri tentang struktur, strategi dan mekanisma rancangan untuk kemajuan Penang Port.

"Kerajaan negeri berhasrat membeli Penang Port menerusi tender terbuka sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan setelah menerima kertas cadangan dari pihak swasta untuk mengambi alih dan membeli Penang Port.

“Jika Kerajaan Negeri dapat menguasainya pasti pertumbuhan ekonomi di bahagian utara yang merupakan penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta hasil cukai negara boleh dipertingkatkan," ujarnya.

Pelabuhan yang berdaya saing tambahnya, memerlukan penambahbaikan seperti logistik dan perkhidmatan pelabuhan sebagai sebuah hab untuk Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Sumetera Utara dan selatan Thailand.

Beliau bertekad akan membawa masuk rakan kongsi teknologi asing dan tempatan bagi mengendalikan pelabuhan berkenaan dan kemudahannya ke tahap antarabangsa.

Bukan itu sahaja, malahan kerajaan negeri bercadang mewujudkan satu Lembaga Penasihat terdiri dari tokoh termuka dari Malaysia dan antarabangsa yang berpengalaman luas dalam bidang pelaburan, keupayaan dan berkelayakan bagi pengurusan pelabuhan.

"Untuk menseimbangkan Lembaga Penasihat yang akan diketuai oleh Najib sendiri satu kaedah baru akan diguna pakai sebagai tatacara urustadbir yang bertaraf antarabangsa selaras dengan prinsip CAT iaitu Cekap, Akautabiliti dan Telus," tegas beliau.

Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih berharap jika sekiranya kerajaan negeri dapat memilikinya penjanaan ekonomi negeri akan melonjak ke arah yang lebih mapan dalam jangka sederhana dan panjang.

Sekaligus, katanya memberi kelebihan kepada kerajaan negeri menyalurkan semula kepada pembangunan strategik dan projek sosial bagi tujuan menambah baik kehidupan rakyat Pulau Pinang.

0 comments: