Custom Search
"DEMI MASA MANUSIA SENTIASA DALAM KERUGIAN"

Friday, September 17, 2010

Pemilihan bincang soal isi, bukan kulit
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Sept: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, biarlah pemilihan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) membincangkan soal isi dan bukan kulit semata-mata.

Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa gembira dengan proses pemilihan terus yang sebenarnya menjadi gambaran kepada proses pilihan raya umum negara.

Katanya, suara sebanyak lebih 400,000 ahli parti dapat menunjukkan aspirasi lebih 11 juta pengundi Malaysia yang bakal memberikan mandat kepada pemimpin melalui pemilihan yang adil dan bebas.

Oleh itu, beliau menyeru seluruh calon-calon supaya menunjukkan daya kepimpinan dan tanggungjawab dalam memastikan pemilihan parti menjadi contoh kepada negara.

Tambahnya, proses demokrasi yang sebenar seharusnya mengalu-alukan kepelbagaian pandangan dan pertembungan idea antara calon-calon.

“Pemilihan yang sihat berlangsung apabila kita dapat menilai idea yang dibentangkan dan bukannya setakat memfokuskan kepada personaliti calon-calon semata-mata.

“Marilah kita bersama-sama mendengar idea dan cadangan yang bakal dibentangkan calon-calon tentang kemana arah tuju negara kita.

“Janganlah kita tersilap dengan hanya melihat batang tubuh pencerita tetapi melupakan mesej yang hendak disampaikan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, selesai sahaja kerancakan kempen, ahli-ahli parti wajib bersatu semula dengan pimpinan yang dipilih untuk membawa perubahan kepada Malaysia.

Nurul Izzah berharap semoga pemilihan parti menjadi proses penjanaan semula parti untuk ahli-ahli dan usaha membangkitkan keyakinan rakyat dalam membina Malaysia yang lebih baik.

0 comments: