Custom Search
"DEMI MASA MANUSIA SENTIASA DALAM KERUGIAN"

Saturday, July 12, 2008

Kembali Kepada Islam Sebagai Cara Hidup Nescaya Selamat

"
“Berkatalah olehmu lailahaillah” bermaksud anutilah kamu Islam sebagai satu cara hidup dengan mengamalkan segala ajarannya dan meninggalkan segala larangannya.
Rasullullah s.a.w. telah meninggalkan kepada manusia satu sirah (perjalanan hidup) yang bukan sekadar untuk dibaca, atau disyairkan atau dihafal fakta dan tarikhnya tetapi lebih daripada itu adalah untuk diambil panduan dan pengajaran daripadanya bagi diaplikasikan dalam kehidupan demi mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan terbaik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredahaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. Surah al Ahzab : 21.

Salah satu peristiwa penting dalam sirah Baginda s.a.w. ialah dakwah Baginda kepada qabilah-qabilah Arab yang datang ke Mekah di musim haji.

Selepas Allah memerintahkan Baginda untuk menyampaikan dakwah secara terang-terangan, baginda melaksanakan perintah tersebut bermula dengan kaum kerabat, dan qabilah-qabilah yang mendiami sekitar bumi Mekah.

Walaubagaimanapun, majoriti penduduk Mekah bukan setakat menolak dakwah Baginda bahkan disiksanya beberapa orang sahabat sehingga ada yang syahid seperti Yasir dan isterinya Sumaiyyah.

Baginda sendiri telah diainaya, ditindas, dilabelkan dengan pelbagai tuduhan dan lain-lain tekanan.

Tekanan tidak mematikan dakwah. Strategi lain perlu di atur. Antara strategi tersebut ialah menyampaikan dakwah kepada qabilah luar Mekah yang datang ke bumi Mekah di musim haji.

Dari satu qabilah ke satu qabilah yang lain. Ada yang menolak dengan kasar, ada yang menolak dengan lembut. Ada yang sanggup menerima tetapi belum bersedia.

Kesemua qabilah-qibalah ini tidak dibuat perjanjian oleh Rasulullah s.a.w dengan apa-apa perjanjian hinggalah akhirnya

Baginda bertemu dengan Qabilah Khazraj yang bersetuju terus menerima Islam dan dengan itu diadakan baiah antara mereka dengan Rasulullah s.a.w.

Apa yang penting ialah dalam seruan dakwah kepada qabilah-qabilah ini, Baginda ada menyebut satu ayat yang bermaksud: “berkatalah oleh mu lailahaillallah nescaya kamu berjaya dan kamu akan menguasai orang Arab serta akan tunduk kepadamu orang Ajam (bukan Arab).”

“Berkatalah olehmu lailahaillah” bermaksud anutilah kamu Islam sebagai satu cara hidup dengan mengamalkan segala ajarannya dan meninggalkan segala larangannya. Hasilnya ialah kamu kecapi kejayaan, keselamatan dan kemenangan dunia dan akhirat.

Apabila dibaca buku-buku sejarah dunia dan sejarah Islam, kata-kata Baginda itu benar sekali. Penduduk Mekah yang telah memeluk Islam bergabung dengan penduduk Madinah yang juga telah menerima Islam dengan membentuk satu masyarakat muhajirin dan ansar yang kuat keimanan dan menjadikan Islam sebagai cara hidup.

Hasilnya, satu masyarakat yang lemah, tidak bertamadun, tidak tersusun bertukar menjadi satu masyarakat yang hebat dan dapat membentuk satu tamadun yang hebat dalam masa yang singkat.

Selepas itu, apabila orang Islam mula meninggalkan Islam sebagai cara hidup, mereka mula lemah, berpecah belah sehingga akhirnya tewas.

Islam pernah memerintah Sepanyol selama sekitar 800 tahun tetapi akhirnya tumpas. Salah satu sebabnya ialah Islam tidak lagi menjadi cara hidup.

Begitulah juga Kerajaan Utmaniyyah yang kerajaannya menguasai beberapa benua tetapi akhirnya jatuh juga.

Jatuh bangun sebuah masyarakat dan kerajaan adalah fitrah semulajadi. Tetapi bertepatan dengan hukum alam yang ada sebab dan musababnya, salah satu sebab kejatuhan masyarakat Islam ialah apabila mereka tidak lagi mendaulatkan Islam.

Mereka tidak lagi menjadikan Islam sebagai cara hidup mereka walaupun mereka adalah orang Islam. Mereka tidak megamalkan ajaran Islam secara syumul sebaliknya mereka hanya mengambil ajaran yang hanya sesuai dengan citarasa nafsu mereka semata-mata.

Tiada lagi amar makruf nahi mungkar tetapi sebaliknya orang yang mengajak kepada kemungkaran dipelihara dan orang yang mengajak kepada makruf dihina.

Dalam suasana kegawatan ekonomi dan politik negara pada hari ini, orang Islam mesti kembali kepada Islam sebagai cara hidup nescaya Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana akan memberikan mengurniakan kekuatan, kejayaan dan kemenangan kepada mereka.

Sebaliknya, sekiranya mereka terus meninggal dan menjauhkan diri dari Islam sebagai cara hidup nescaya mereka akan ditimpa kehinaan sebagaimana yang telah berlaku kepada masyarakat yang terdahulu. Ingatlah pesanan Saidina Umar r.a. yang bermaksud: “Kita adalah satu masyarakat yang dimuliakan oleh Allah kerana kita berpegang dan beramal dengan Islam (sebagai cara hidup).

Maka apabila kita mencari sesuatu (mengikut dan mengamal) yang bukan dari sesuatu yang Allah muliakan kita (Islam) nescaya kita timpakan kehinaan ke atas kita.”

Nota ** A.Luqman adalah nama pena seorang warga Terengganu, yang bertugas sebagai Pensyarah di Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM)

0 comments: